Kesihatan rahim sering kali menjadi topik yang dipandang remeh sehinggalah masalah menjadi serius. Ramai wanita menganggap kesakitan atau ketidakselesaan yang dialami sebagai perkara biasa yang akan hilang.
Menurut perkongsian pakar perubatan, Dr. Raihana Ismail, terdapat lima tanda amaran yang menunjukkan rahim mungkin berada dalam keadaan tidak sihat.
Pendarahan di luar waktu haid
Pendarahan mengejut meskipun kitaran haid baru sahaja berakhir. Misalnya, berlaku pendarahan semula pada hari ke-15 sedangkan haid bermula pada 1 Julai juga merupakan tanda yang perlu diberi perhatian.
“Situasi itu merupakan tanda amaran yang perlu diperhatikan kerana berkemungkinan berpunca daripada masalah Fibroid, polip rahim atau pertumbuhan tisu yang tidak normal pada dinding rahim,” katanya.
Sakit semasa ‘bersama’
Hubungan intim sepatutnya menjadi momen yang membahagiakan bukan menyakitkan.
Rasa sakit yang tajam ketika penetrasi di bahagian dalam mungkin petanda Endometriosis atau Adenomiosis.
“Hal ini berlaku apabila sel endometrium tumbuh di luar rahim atau masuk ke dalam otot rahim, menyebabkan struktur sistem peranakan berubah dan menjadi sensitif.
“Jika rasa sakit itu hanya di bahagian luar, mungkin berkaitan dengan masalah kekeringan atau jangkitan kuman,” katanya.
‘Miss V’ sentiasa basah
Terdapat perbezaan antara keputihan subur dengan cecair yang menandakan jangkitan.
“Jika kawasan intim sentiasa basah dengan cecair berwarna (bukan putih bersih) seperti coklat atau kekuningan, berhati-hatilah.
“Lebih membimbangkan jika disertai dengan rasa gatal-gatal. Ini adalah petanda rahim tidak sihat akibat jangkitan kuman yang memerlukan rawatan segera,” jelasnya.
Sakit pinggang yang kronik
Ramai yang menyangka sakit pinggang hanya kerana penat bekerja. Namun, jika sakit pinggang itu datang semasa sedang berehat dan tidak melakukan aktiviti fizikal, ia mungkin ada kaitan dengan rahim.
“Sakit yang datang ‘on and off’ di luar waktu haid ini perlu dicurigai kerana mungkin berpunca daripada ketumbuhan atau bengkak pada rahim yang menekan saraf di bahagian belakang,” jelasnya.
Kembung perut dan sering kentut
Tanda terakhir ini mungkin kedengaran lucu tetapi sangat lazim bagi mereka yang mempunyai Cyst atau Fibroid.
“Perut yang kerap kembung atau rasa seperti ‘kentut vagina’ (kentut faraj) juga adalah antara simptom yang perlu diperhatikan.
“Malah, dalam kes yang lebih serius, kembung perut yang luar biasa boleh menjadi tanda awal kanser ovari,” katanya. –Muslimah