Kerap terjaga pukul 3 pagi boleh jadi petanda

Ramai menyangka tidur awal sudah cukup untuk buatkan tubuh dapat rehat yang cukup.

Namun, ada individu yang mudah lena pada waktu malam tetapi kerap terjaga sekitar pukul 3 atau 4 pagi dan gagal untuk tidur semula sehingga subuh.

Menurut perkongsian di Threads oleh pakar perubatan keluarga Hospital Singapura, Khaw Sheng Wei,  keadaan itu dikenali dalam dunia perubatan sebagai Early Awakening Insomnia atau Terminal Insomnia dan masalah tersebut berbeza dengan insomnia biasa yang menyebabkan seseorang sukar untuk mula tidur.

“Golongan ini sebenarnya tiada masalah untuk lelap, tetapi mereka tidak boleh kekal tidur. Bila terjaga terlalu awal, badan rasa penat tetapi otak terus segar dan sukar tidur semula,” jelasnya.

Keadaan itu bukan sekadar gangguan tidur biasa, sebaliknya boleh menjadi petanda tubuh sedang berada dalam tekanan tertentu.

Stres dan burnout 

Katanya, antara faktor paling utama yang dikaitkan dengan keadaan tersebut adalah peningkatan hormon stres atau kortisol akibat tekanan emosi, burnout dan kebimbangan berpanjangan.

“Hormon kortisol biasanya rendah pada waktu malam dan meningkat secara perlahan sebelum waktu bangun pagi. Namun jika seseorang sedang stres atau terlalu banyak berfikir, hormon ini boleh meningkat terlalu awal sehingga otak dipaksa berjaga sebelum waktunya,” katanya.

Selain stres, early morning awakening juga boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan mental seperti kemurungan klinikal.

Individu yang mengalami keadaan tersebut kebiasaannya terjaga terlalu awal dan rasa gelisah, kosong atau emosi yang berat tanpa sebab jelas.

Faktor usia juga memainkan peranan apabila perubahan jam biologi badan menyebabkan penghasilan hormon melatonin semakin berkurang.

“Sebab itu ramai warga emas tidur lebih awal dan bangun terlalu awal,” katanya.

Gangguan pernafasan ketika tidur

Selain itu, Dr. Khaw Sheng berkata masalah tidur tersebut juga boleh berlaku akibat Obstructive Sleep Apnea (OSA), iaitu keadaan seseorang berhenti bernafas seketika ketika tidur.

“Ada individu yang sebenarnya terjaga kerana badan kekurangan oksigen. Otak akan menghantar isyarat kecemasan untuk mengejutkan tubuh,” katanya.

ramai menganggap tidur empat atau lima jam sehari sudah mencukupi hanya kerana tubuh sudah terbiasa dengan keadaan tersebut.

Namun, kekurangan tidur terutama pada fasa deep sleep boleh memberi kesan besar terhadap emosi, fokus dan kesihatan mental dalam jangka panjang.

“Fasa tidur pada awal pagi sangat penting untuk pemulihan otak dan emosi. Jika tidur terganggu setiap hari, tubuh boleh mengalami keletihan mental secara perlahan-lahan,” katanya.

Elak lihat telefon ketika terjaga waktu malam

Mengulas langkah yang boleh dilakukan, beliau sarankan individu yang gagal tidur semula selepas kira-kira 20 minit supaya bangun dari katil seketika.

“Jangan paksa diri berbaring terlalu lama kerana otak boleh mula mengaitkan katil dengan stres,” katanya.

Selain itu, jangan melihat jam atau telefon bimbit ketika terjaga pada waktu malam kerana boleh mencetuskan kebimbangan dan membuatkan otak semakin sukar berehat.

Rutin tidur yang konsisten, pengurangan pengambilan kafein pada sebelah petang serta pengurusan stres juga penting bagi membantu meningkatkan kualiti tidur.

“Jangan abaikan gangguan tidur yang berlaku setiap hari kerana tidur yang berkualiti memainkan peranan penting terhadap kesihatan fizikal dan emosi seseorang,” katanya.-Muslimah