Antara pesanan yang paling kerap didengari oleh wanita daripada generasi terdahulu ialah larangan minum air sejuk atau air ais ketika sedang haid.
Kononnya, air sejuk boleh menyebabkan darah haid membeku, menjadi ketul atau punca kepada kanser rahim.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui portal rasmi dan hantaran di media sosial berulang kali menjelaskan meminum air ais semasa haid tidak menyebabkan darah membeku atau kanser rahim.
Malah, KKM menekankan tiada bukti saintifik yang mengaitkan minuman sejuk dengan gangguan kitaran haid atau masalah kesuburan.
Kitaran haid lebih banyak dipengaruhi oleh keseimbangan hormon dan faktor tekanan dan bukannya suhu air.
Secara anatomi, air yang diminum akan melalui sistem penghadaman (esofagus, perut dan usus). Manakala, darah haid pula melibatkan sistem reproduksi (rahim dan faraj).
Kedua-dua sistem ini berada berasingan dan tidak bersambung secara terus.
Apabila meminum air ais, suhu air itu akan diselaraskan oleh badan mengikut suhu dalaman tubuh sebaik sahaja sampai ke perut.
Oleh itu, air ais tidak mempunyai keupayaan fizikal untuk sampai ke rahim dan membekukan darah di bahagian tersebut.
Darah haid yang kelihatan berketul sebenarnya normal. Ia berlaku apabila lapisan dinding rahim luruh dengan cepat dan enzim antikoagulan (pencegah beku) dalam badan tidak sempat mencairkan darah tersebut.
Walaupun air ais tidak membahayakan, sesetengah individu mungkin rasa senggugut yang lebih kuat selepas minum air sejuk.
Kebiasaannya, ia disebabkan tindak balas saraf sensitif yang boleh mencetuskan pengecutan otot perut bagi sesetengah individu.
Perkara paling penting semasa haid adalah memastikan hidrasi yang cukup, menjaga kebersihan diri dan mengambil makanan seimbang bagi menggantikan kehilangan zat besi.-Muslimah