Ramai orang muda hidap tekanan darah tinggi

Anggapan mengenai masalah tekanan darah tinggi atau hipertensi hanya menyerang golongan berusia ternyata meleset apabila semakin ramai individu seawal usia 20-an dan 30-an dikesan menghidap penyakit tersebut.

Pakar Kardiologi dan Elektrofisiologi dari Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway, Dr. Gary Lee Chin Keong berkata, trend tersebut amat membimbangkan memandangkan pesakit muda terpaksa menanggung kesan penyakit berkenaan bagi tempoh yang lebih lama.

“Sekitar dua puluh tahun lalu, hipertensi sering dianggap sebagai masalah golongan berusia. Kini, saya merawat ramai pesakit yang hanya dalam lingkungan 20-an dan 30-an,” katanya.

Menurutnya, hipertensi digelar sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana ia kerap kali tidak menunjukkan sebarang tanda amaran awal kepada penghidapnya.

Apabila tekanan darah kekal tinggi untuk tempoh yang lama, jantung terpaksa bekerja lebih keras untuk mengepam darah. Keadaan ini boleh menyebabkan otot jantung menjadi lemah dan mengurangkan keupayaannya untuk berfungsi dengan cekap.

“Antara perubahan awal yang berlaku adalah penebalan dinding jantung atau left ventricular hypertrophy (LVH).  Lebih membimbangkan, LVH boleh berlaku tanpa sebarang simptom ketara dan biasanya hanya dikesan melalui pemeriksaan ekokardiogram,” katanya.

Ramai pesakit hanya menyedari kerosakan jantung apabila keadaan sudah berada pada tahap serius atau tenat. Antara simptom yang sering diabaikan atau dianggap sebagai keletihan biasa termasuklah sakit dada, sesak nafas, denyutan jantung laju, pening dan pengsan.

“Jika dibiarkan tanpa kawalan, hipertensi bukan sahaja merosakkan jantung malah meningkatkan risiko strok, kegagalan buah pinggang serta penyakit irama jantung seperti fibrilasi atrium,” katanya.

Tambahnya, gaya hidup moden merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kes dalam kalangan anak muda, termasuklah faktor tekanan kerja, kekurangan tidur, tabiat merokok serta pengambilan garam yang berlebihan dalam makanan.

Selain itu, masalah obesiti dan kencing manis disifatkan sebagai ‘gabungan berbahaya’ yang memburukkan lagi risiko penyakit kardiovaskular di negara ini.

Justeru, beliau menggalakkan orang ramai agar mula memantau bacaan tekanan darah seawal usia 20-an melalui saringan kesihatan berkala.

“Jangan menunggu kemunculan simptom sebelum menyedari masalah serius telah berlaku. Lebih awal dikesan, lebih tinggi peluang untuk melindungi jantung anda,” katanya.-Muslimah