Ramai wanita pernah berdepan situasi apabila darah haid kelihatan sudah berhenti lalu mereka mandi wajib dan kembali menunaikan solat seperti biasa.
Namun, keesokan harinya muncul semula kesan darah sehingga menimbulkan persoalan sama ada mereka sebenarnya sudah suci atau masih berada dalam tempoh haid.
Perkara itu turut menjadi perbincangan dalam kalangan wanita di Threads apabila ramai berkongsi kekeliruan untuk menentukan waktu sebenar tamat haid.
Menjelaskan perkara tersebut, Ustazah Asma Zainon berkata, wanita tidak boleh tergesa-gesa menganggap haid telah berakhir hanya kerana darah tidak lagi kelihatan keluar.
“Ramai wanita menyangka apabila darah tidak lagi keluar secara luaran, mereka sudah suci. Sedangkan dalam fiqh wanita, keadaan itu belum tentu menandakan haid benar-benar tamat,” katanya kepada Muslimah.
Menurutnya, terdapat dua keadaan penting yang perlu difahami iaitu naqa dan fatrah kerana kedua-duanya memberi kesan kepada pelaksanaan ibadah seperti solat dan puasa.
Apa itu Naqa?
Menurut Ustazah Asma, naqa ialah keadaan apabila darah haid benar-benar telah berhenti dan tiada lagi kesan darah di bahagian dalam faraj.
Bagi memastikannya, wanita disarankan melakukan pemeriksaan menggunakan kapas dengan memasukkannya sekadar satu ruas jari ke dalam faraj dan menyentuh bahagian dinding dalam.
Sekiranya kapas yang dikeluarkan bersih tanpa sebarang kesan darah, keadaan tersebut dikategorikan sebagai naqa.
“Apabila mencapai keadaan naqa, wanita dianggap telah suci dan perlu mandi wajib sebelum kembali menunaikan solat serta ibadah lain,”katanya.
Bagaimana pula dengan fatrah?
Fatrah pula merujuk kepada keadaan apabila darah tidak lagi kelihatan keluar secara luaran, namun masih terdapat kesan darah pada kapas ketika pemeriksaan dilakukan.
Walaupun darah tidak kelihatan pada pakaian atau tuala wanita, wanita masih dianggap berada dalam keadaan haid jika kesan darah masih wujud di bahagian dalam.
“Dalam keadaan fatrah, hukumnya masih sama seperti haid dan wanita belum boleh menunaikan solat atau berpuasa,” katanya.
Jangan tergesa-gesa mandi wajib
Ustazah Asma turut menegaskan wanita tidak seharusnya bergantung kepada pemerhatian luaran semata-mata untuk menentukan tamatnya haid.
Sebaliknya, pemeriksaan perlu dilakukan setiap kali darah kelihatan berhenti bagi memastikan seseorang benar-benar telah suci.
Beliau turut mengingatkan pesanan daripada Saidatina Aisyah binti Abu Bakar yang menasihati wanita agar tidak tergesa-gesa menganggap diri mereka telah suci sehingga melihat tanda suci yang jelas iaitu kapas yang keluar dalam keadaan putih dan bersih tanpa sebarang kesan darah.
Kesan terhadap solat dan puasa
Perbezaan antara naqa dan fatrah memberi kesan langsung kepada ibadah harian seorang Muslimah.
Naqa dihukumkan sebagai suci dan wanita perlu kembali menunaikan solat serta puasa seperti biasa.
Sebaliknya, fatrah masih dikira sebagai haid dan wanita tidak boleh melakukan ibadah yang diharamkan ketika haid.
Justeru, memahami perbezaan antara naqa dan fatrah amat penting agar wanita tidak tergesa-gesa mandi wajib atau kembali beribadah sebelum benar-benar suci.
Pemeriksaan yang teliti dapat membantu Muslimah melaksanakan ibadah dengan lebih yakin dan tenang.-Muslimah