Selalu salahkan ubat, rupanya tabiat harian ini yang rosakkan buah pinggang

Kita sering mendengar rungutan dalam kalangan masyarakat yang meluahkan rasa bimbang untuk mengambil ubat-ubatan hospital atau suplemen tambahan.

Hal ini berpunca daripada khabar angin mengenai pengambilan ubat secara berterusan merupakan faktor utama kerosakan buah pinggang.  

Hakikatnya ramai terlepas pandang gaya hidup harian sebenarnya yang menjadi musuh utama organ penting itu.

Menerusi perkongsian ahli farmasi, Miza Murshid di media sosialnya, punca utama kerosakan buah pinggang di Malaysia bukanlah disebabkan oleh pengambilan ubat-ubatan secara konsisten sebaliknya berpunca daripada masalah kesihatan kronik yang tidak terkawal.

“Berdasarkan data daripada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan Pusat Kawalan Penyakit (CDC), dua punca tertinggi yang mencatatkan kerosakan buah pinggang ketika ini adalah penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi,” katanya.

Tambahnya, selain daripada faktor kongenital atau masalah sejak lahir, kerosakan organ itu sebenarnya sangat berkait rapat dengan pilihan gaya hidup serta corak pemakanan yang diamalkan saban hari.

“Kadang-kadang kita lebih takut untuk mengambil ubat yang dibekalkan doktor atau suplemen yang menampung kekurangan nutrisi tetapi pada masa yang sama kita membiarkan diri terdedah kepada risiko yang lebih besar,” katanya.

Antara tabiat yang dikenal pasti menjadi penyumbang utama termasuklah amalan meminum air manis setiap hari, pengambilan makanan diproses serta makanan yang mengandungi kandungan gula yang sangat tinggi dalam tempoh bertahun-tahun. 

“Malah, sikap kurang menjaga keseimbangan nutrisi dan tidak mempedulikan pantang larang kesihatan demi mengikut trend ‘makanan tular’ turut memburukkan keadaan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai ketakutan orang ramai terhadap ubat, katanya, tanggapan ubat sebagai punca kerosakan buah pinggang kurang tepat. 

Sebaliknya, ubat yang diambil mengikut nasihat dan pantauan doktor sebenarnya membantu meningkatkan kualiti kesihatan pesakit.

“Saya tidak katakan ubat dan suplemen itu segala-galanya tetapi penting untuk kita faham suplemen yang diambil dengan betul dan berkualiti bukanlah punca utama kerosakan buah pinggang,” katanya.

Kerosakan yang berlaku adalah disebabkan oleh penyakit yang sedia ada seperti kencing manis yang tidak dirawat dengan betul sehingga merosakkan sistem penapisan buah pinggang.

Beliau turut mengingatkan orang ramai kesihatan tubuh badan adalah hasil daripada pilihan yang dibuat setiap hari selama bertahun-tahun. 

Memahami keperluan badan, menjaga pemakanan serta menyeimbangkan nutrisi kunci utama untuk kekal sihat.

“Jaga kesihatan baik-baik, amanah Allah ini sangat bernilai. Sebab kesihatan itu tidak datang daripada satu benda sahaja tetapi daripada apa yang kita buat setiap hari,” katanya.-Muslimah