Muslimah dan fenomena estetik: Antara tekanan sosial dan tuntutan reda Ilahi

Perkembangan pesat media sosial dalam dekad ini telah membawa bersama satu fenomena baharu yang semakin memberi kesan mendalam terhadap psikologi dan identiti muslimah, iaitu budaya estetik. 

Estetik bukan hanya soal reka bentuk dalaman atau estetika visual semata-mata, tetapi telah berkembang menjadi satu piawaian rasmi yang menentukan nilai seorang wanita di mata masyarakat.

Daripada susunan perabot berwarna neutral di ruang tamu hinggalah kepada kebolehan menghidang makanan dengan plating yang menarik, pengurusan anak- anak yang sempurna serta penampilan diri yang sentiasa kemas dan berseri, semuanya tertakluk kepada satu ‘standard’ yang dipromosikan secara halus dan berterusan di platform media sosial. 

Akibatnya, wanita hari ini bukan sahaja menanggung beban tanggungjawab yang nyata, malah turut menanggung beban persepsi manusia.

Kajian berkaitan konflik peranan wanita berkerjaya menunjukkan wanita masa kini berdepan cabaran untuk mengimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga. 

Konflik ini bukan sahaja memberi impak kepada produktiviti dan kesihatan fizikal, malah menjejaskan kesejahteraan mental secara langsung. 

Dalam konteks Malaysia, wanita didapati memperuntukkan antara tiga hingga enam jam sehari bagi melaksanakan kerja rumah dan penjagaan keluarga tanpa imbuhan kewangan, selain memenuhi tuntutan kerjaya. 

Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila digabungkan dengan tekanan budaya kesempurnaan yang dipengaruhi oleh paparan media sosial, sekali gus meningkatkan beban yang ditanggung oleh wanita.

Sirah Nabawiyyah turut merakamkan satu peristiwa yang menggambarkan realiti beban domestik yang ditanggung oleh wanita. 

Saidatina Fatimah az-Zahra pernah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang keletihan yang dialaminya akibat menguruskan urusan rumah tangga. 

Beliau kemudian memohon agar diberikan seorang pembantu untuk membantu meringankan tugas-tugas tersebut. Respon Rasulullah s.a.w. terhadap aduan anak perempuan baginda itu penuh dengan hikmah dan kasih sayang. 

Baginda tidak menegur Saidatina Fatimah atas kelemahannya. Sebaliknya, Baginda mengajarkan satu amalan zikir yang menjadi bekalan kekuatan batin: 

“Mahukah kalian berdua aku ajarkan perkara yang lebih baik dari yang kalian minta? Jika kalian telah berada di tempat tidur kalian bacalah takbir tiga puluh empat kali, tasbih tiga puluh tiga kali dan tahmid tiga puluh tiga kali. Itu semua lebih baik buat kalian berdua daripada seorang pembantu” (Riwayat al-Bukhari)

Peristiwa ini memberikan pengajaran bahawa mengakui keletihan dan kesukaran merupakan fitrah manusia yang diiktiraf oleh Islam. 

Rasulullah SAW tidak menjadikan kemampuan menanggung segala beban tanpa mengeluh sebagai ukuran keimanan. 

Sebaliknya, Baginda membimbing Fatimah r.a. kepada sumber kekuatan yang sebenar, iaitu hubungan yang dekat dengan Allah SWT melalui pengukuhan aspek rohani.

Islam tidak melarang seseorang berusaha untuk menjadikan kehidupannya lebih teratur, bersih dan selesa. 

Bahkan, Islam sangat menitikberatkan aspek kebersihan dan keteraturan, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan Baginda. 

Oleh itu, keinginan untuk memperbaiki kualiti hidup merupakan sesuatu yang digalakkan dalam Islam. Namun, Islam membezakan antara usaha yang dilakukan kerana Allah SWT dengan usaha yang didorong oleh tekanan sosial. 

Apabila seorang wanita menjaga kebersihan dan kekemasan rumah sebagai satu amanah dan ibadah, usaha tersebut mempunyai nilai di sisi Allah SWT. 

Sebaliknya, apabila nilai dirinya diukur berdasarkan sejauh mana kehidupannya memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh masyarakat atau media sosial, maka fokus tersebut telah beralih daripada keredaan Allah SWT kepada penilaian manusia.

Dalam hal ini, konsep qana‘ah menawarkan pendekatan yang lebih seimbang.

Qana‘ah bukan bererti berpuas hati tanpa usaha, tetapi merujuk kepada ketenangan jiwa yang lahir daripada keyakinan setiap usaha yang dilakukan dengan ikhlas akan dinilai oleh Allah SWT, walaupun tidak mencapai gambaran kesempurnaan yang diharapkan oleh manusia.

Kini, muslimah berdepan  pelbagai tuntutan yang semakin kompleks.  Selain memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, mereka juga memainkan peranan penting dalam kerjaya dan pembangunan masyarakat.

Keadaan ini boleh menimbulkan tekanan yang berpanjangan sekiranya tidak disokong oleh sumber motivasi yang kukuh.

Kajian berkaitan konflik kerja-keluarga menunjukkan motivasi dalaman merupakan antara faktor utama yang membantu wanita mengekalkan kesejahteraan mental dan emosi. 

Wanita yang bertindak berasaskan nilai, prinsip dan keyakinan yang mendalam, termasuk pegangan agama, didapati lebih berupaya menghadapi cabaran berbanding mereka yang terlalu bergantung kepada penilaian dan pengiktirafan orang lain.

Dalam konteks ini, keredaan Allah SWT menjadi landasan yang paling kukuh bagi seorang muslimah. 

Apabila setiap tanggungjawab dilaksanakan sebagai satu bentuk ibadah, nilai sesuatu amalan tidak lagi bergantung kepada persepsi manusia.

Rumah yang sederhana masih boleh dipenuhi keberkatan, masakan yang biasa masih boleh menjadi sumber pahala dan kehidupan yang jauh daripada gambaran estetik tetap boleh menjadi kehidupan yang bermakna di sisi Allah SWT.

Budaya estetik yang berkembang di media sosial bukan sesuatu yang perlu ditolak sepenuhnya. 

Namun, ia perlu dilihat melalui lensa nilai Islam yang seimbang. Seorang muslimah perlu sedar nilai dirinya tidak ditentukan oleh jumlah tanda suka di media sosial, keindahan rumah yang dipaparkan atau sejauh mana kehidupannya memenuhi piawaian yang dibentuk oleh trend semasa.

Islam menetapkan ukuran yang lebih adil dan bermakna, iaitu ketakwaan, keikhlasan dan kesungguhan dalam melaksanakan amanah. 

Seorang wanita yang mengurus rumah tangga dalam keletihan, mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang atau bersabar menghadapi cabaran kehidupan sambil terus berharap kepada Allah SWT tetap memiliki kedudukan yang mulia di sisi-Nya, walaupun kehidupannya tidak kelihatan sempurna pada pandangan manusia.

Kisah Saidatina Fatimah az-Zahra mengingatkan penyelesaian kepada tekanan dan kepenatan hidup tidak terletak pada usaha memenuhi standard luaran yang sentiasa berubah. 

Sebaliknya, ia terletak pada kekuatan rohani yang lahir daripada hubungan yang kukuh dengan Allah SWT. 

Hubungan inilah yang memberikan ketenangan, membina ketahanan jiwa dan mengajar seorang wanita bahawa nilai dirinya tidak diukur oleh apa yang dipaparkan kepada manusia, tetapi oleh apa yang dinilai oleh Allah SWT.-Muslimah

Penulis ialah calon doktor falsafah dalam bidang Pengurusan dan Pembangunan Islam di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (Isdev), Universiti Sains Malaysia (USM)