Trend mendapatkan rawatan kesuburan pada usia lewat semakin ketara dan menjadi cabaran utama dalam bidang perubatan reproduktif.
Ramai pasangan hanya mendapatkan bantuan apabila usia meningkat, sedangkan peluang hamil secara semula jadi semakin menurun seiring pertambahan umur.
Malaysia kini berdepan perubahan ketara dalam kadar kesuburan negara. Kadar Kesuburan Jumlah (Total Fertility Rate) menurun daripada 2.1 pada tahun 2010 kepada 1.7 pada tahun 2023, sekali gus menandakan penurunan berterusan dalam kadar kelahiran.
Keadaan ini menunjukkan negara sedang menuju ke arah masyarakat menua apabila jumlah kelahiran semakin berkurangan berbanding keperluan populasi semasa.
Pengarah Perubatan GenPrime Everlink, Dr. Marthi Arasu berkata, antara perkara utama yang dibincangkan dalam sesi konsultasi melibatkan tempoh pasangan mencuba mendapatkan zuriat serta usia ketika memulakan rawatan.
“Sebahagian besar pesakit datang pada usia yang lebih lewat, malah hampir 40 peratus terdiri daripada wanita berusia 40 tahun ke atas,” katanya pada sesi soal jawab ketika pelancaran penjenamaan semula pusat kesuburan itu di Shah Alam, baru-baru ini.
Dalam bidang perubatan reproduktif, wanita sekitar usia 38 tahun sudah dikategorikan dalam kumpulan ‘usia ibu lanjut’, iaitu fasa kesuburan yang lebih berisiko dan memerlukan perhatian rapi.
“Ramai pasangan hanya mendapatkan nasihat atau rawatan apabila usia sudah berada pada tahap lebih berisiko, sekali gus menjadikan proses rawatan lebih kompleks,” katanya.
Perubahan gaya hidup moden, tekanan kerjaya serta kecenderungan berkahwin lewat terus menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi trend ini.
Selain itu, tanggapan umum sihat bermaksud subur adalah kurang tepat. Kesihatan fizikal secara luaran tidak semestinya mencerminkan tahap kesihatan reproduktif seseorang.
Menurut Dr. Marthi, individu yang kelihatan sihat, aktif bersenam dan menjaga gaya hidup masih berdepan masalah sistem reproduktif seperti keadaan uterus atau kualiti telur.
Sebaliknya, terdapat juga individu yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat tetapi masih mampu memiliki zuriat.
Situasi ini menunjukkan kesuburan merupakan aspek kompleks dan tidak boleh dinilai berdasarkan penampilan luaran atau tahap kecergasan semata-mata.
Tambahnya, pusat kesuburan bukan sekadar menyediakan rawatan, tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeriksaan awal.
“Kesedaran sahaja tidak mencukupi jika tidak disusuli dengan tindakan. Usaha ini perlu diperluas bukan sahaja di bandar besar, tetapi juga di kawasan luar bandar supaya lebih ramai mendapat maklumat tepat dan bertindak lebih awal,” katanya.
Menyentuh isu sama, personaliti yang juga ahli panel, Sarah Lian, 40, berkongsi pengalaman membekukan telur (egg freezing) ketika usia awal 30-an sebagai langkah persediaan masa depan selepas berumah tangga.
Keputusan itu dibuat bagi memberi ruang dan peluang untuk memiliki zuriat pada usia yang lebih sesuai, selari dengan keutamaan terhadap kerjaya serta kestabilan hidup ketika itu.
Menurutnya, ramai wanita berada dalam situasi sama dan hanya mula menyedari kepentingan kesuburan apabila usia semakin meningkat serta pilihan semakin terhad.
“Ketika usia masih muda, kita rasa masa masih panjang. Tetapi apabila mula faham tentang kesuburan, barulah sedar tidak semua perkara boleh ditangguhkan,” katanya.
Dia mengakui proses tersebut bukan mudah kerana melibatkan emosi, ketidakpastian serta tekanan peribadi, namun tetap memberi harapan dengan sokongan pasukan perubatan.
Perkongsian itu mencerminkan realiti wanita masa kini yang semakin cenderung merancang masa depan lebih awal, termasuk dalam aspek kesuburan bagi mengelakkan penyesalan kemudian hari.
Perbincangan mengenai isu ini diketengahkan sempena pelancaran penjenamaan semula GenPrime Everlink Pusat Kesuburan di UoA Business Park, Shah Alam dengan fokus kepada cabaran kesuburan wanita pada usia lanjut selari peningkatan pasangan mendapatkan rawatan pada usia lebih lewat.-Muslimah