Badan letih tetapi sukar tidur? Mungkin ini puncanya

Isu gangguan tidur atau insomnia dalam kalangan masyarakat kini bukan lagi sekadar masalah gaya hidup remeh tetapi telah bertukar menjadi satu krisis kesihatan awam yang membimbangkan di negara ini.

Menurut data daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbidi Kebangsaan (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seramai dua daripada lima orang dewasa di Malaysia didapati tidak mendapat tidur yang mencukupi iaitu kurang daripada tujuh jam sehari. 

Masalah itu dilaporkan membawa implikasi besar terhadap kesihatan kerana dikaitkan secara langsung dengan peningkatan risiko penyakit kronik termasuk obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kemurungan serta risiko kemalangan.

Pakar Psikiatri, Dr. Tee Lee Chin berkata, rungutan mengenai keletihan yang melampau tetapi kesukaran untuk melelapkan mata merupakan antara aduan utama yang sering diterima daripada pesakit di kliniknya hampir setiap hari.

Walaupun masyarakat sering menuding jari kepada penggunaan skrin telefon bimbit sebagai punca utama, realiti klinikal menunjukkan terdapat faktor dalaman lain yang jauh lebih kritikal.

“Punca sebenar yang sering mengganggu tidur seseorang termasuklah masalah kebimbangan melampau yang muncul dalam bentuk tabiat berfikir keterlaluan (overthinking) pada waktu malam. 

“Selain itu, jadual tidur yang tidak teratur seperti amalan membalas dendam masa tidur pada hujung minggu serta tabiat tidur petang yang terlalu lama turut memburukkan lagi keadaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Bagaimanapun, ketakutan terhadap ketidakupayaan untuk tidur merupakan faktor terbesar yang membelenggu sebahagian besar penghidap insomnia kronik.

“Apabila anda mula berasa takut untuk masuk ke tempat tidur dan kerap melihat jam sambil mengira berapa jam waktu tidur yang berbaki, otak anda akan mengaktifkan tindak balas stres. 

“Tubuh anda secara fizikal akan melawan rasa mengantuk demi melindungi diri daripada bahaya yang sebenarnya tidak wujud,” kongsinya.

Situasi itu akhirnya mengubah fungsi tempat tidur daripada sebuah ruang untuk berehat menjadi satu tempat yang penuh dengan tekanan dan keresahan. 

Keadaan ini turut menjelaskan fenomena di mana sesetengah individu boleh tertidur dengan mudah di atas sofa semasa menonton televisyen namun tiba-tiba terjaga dan menjadi segar semula sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik tidur mereka sendiri.

Justeru, beliau menasihatkan individu yang mengalami masalah ini supaya berhenti memaksa diri untuk tidur sekiranya sudah berbaring melebihi tempoh 20 minit.

“Bangun dari tempat tidur, berpindah ke ruang yang mempunyai pencahayaan malap dan lakukan aktiviti yang menenangkan. 

“Kembali ke tempat tidur selepas anda benar-benar merasakan sensasi mengantuk yang tulen bagi melatih semula fungsi otak.

“Anda tidak rosak. Cuma otak anda yang tersilap mempelajari perkara yang salah tentang tidur dan apa yang telah dipelajari itu sebenarnya boleh diubah semula,” katanya.-Muslimah