Punca lemak perut susah hilang

Pasti ramai yang pernah kecewa apabila angka pada penimbang tidak banyak berubah walaupun sudah berusaha mengurangkan berat badan dengan mengawal pemakanan dan bersenam secara konsisten.

Menurut perkongsian penasihat kesihatan dan kesejahteraan, Nurul Faizeen Abdul Latif di media sosial, keadaan itu mungkin ada kaitan dengan tahap hormon kortisol yang terlalu tinggi dalam badan. 

Kortisol merupakan hormon stres yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal yang membantu tubuh mengawal tenaga, metabolisme dan tindak balas terhadap tekanan.

Namun apabila tahapnya kekal tinggi dalam tempoh yang lama, proses pembakaran lemak menjadi lebih sukar terutama di bahagian perut.

Matahari pagi 

Antara amalan yang disarankan ialah mendapatkan cahaya matahari pagi dalam tempoh 30 minit selepas bangun tidur.

Menurut Faizeen, pendedahan kepada cahaya matahari membantu tubuh mengawal ritma semula jadi hormon kortisol. 

Selain itu, elakkan terus mencapai telefon atau minum kopi sebaik bangun tidur. Sebaiknya, luangkan beberapa minit di luar rumah untuk menikmati cahaya matahari secara semula jadi.

Berjalan 

Ramai beranggapan semakin berat senaman dilakukan, semakin cepat berat badan turun.

Namun senaman kardio yang terlalu intensif boleh meningkatkan hormon stres buat sementara waktu.

Faizeen mencadangkan aktiviti berjalan kaki antara 8,000 hingga 12,000 langkah sehari kerana ia membantu tubuh berada dalam keadaan lebih tenang.

Jangan tinggal sarapan yang tinggi protein 

Sarapan yang terlalu tinggi gula atau melewatkan waktu makan pagi boleh menyebabkan paras gula darah tidak stabil.

Keadaan ini boleh mencetuskan peningkatan kortisol. Faizeen menyarankan pengambilan 30 hingga 40 gram protein dalam tempoh sejam selepas bangun tidur menerusi sumber seperti telur, yogurt Greek atau minuman protein.

Kurangkan skrin sebelum tidur 

Ramai menjadikan telefon pintar sebagai teman sebelum tidur tanpa menyedari kesannya terhadap hormon badan.

Cahaya biru daripada skrin boleh mengganggu penghasilan melatonin yang penting untuk tidur berkualiti. Apabila tidur terganggu, tahap kortisol juga lebih mudah meningkat keesokan harinya.

Sebagai alternatif, cuba membaca buku, melakukan regangan ringan atau latihan pernafasan sebelum tidur.

Elakkan tabiat mengunyah sepanjang hari 

Snek yang diambil tanpa henti sepanjang hari boleh menyebabkan paras insulin sentiasa tinggi dan mengganggu kestabilan gula darah.

Justeru, Faizeen menggalakkan corak pemakanan yang lebih teratur dengan tiga hidangan utama sehari serta mengurangkan tabiat mengunyah secara berterusan.

Latihan kekuatan bantu badan lebih seimbang 

Selain berjalan kaki, latihan kekuatan seperti angkat berat dua hingga tiga kali seminggu turut membantu menurunkan tahap kortisol dalam jangka panjang.

Selain itu, ia membantu membina otot, meningkatkan metabolisme dan memperbaiki penggunaan glukosa dalam badan.

Jangan lupa beri ruang untuk tubuh berehat 

Menurut Faizeen, ramai berjaya menurunkan berat badan apabila mereka memberi perhatian kepada proses pemulihan badan, bukan sekadar menambah senaman.

Tidur yang mencukupi, pengurusan stres dan masa rehat yang berkualiti memainkan peranan penting dalam menyeimbangkan hormon.

“Kadang-kadang badan memerlukan lebih banyak pemulihan, bukan lebih banyak tekanan,” katanya.-Muslimah