Mudah letih dan kebas kaki mungkin petanda kolesterol tinggi

Pernahkah terasa badan cepat letih walaupun tidak lakukan kerja berat atau kerap mengalami kebas pada tangan dan kaki tanpa sebab yang jelas?

Walaupun sering dianggap perkara biasa, simptom tersebut boleh menjadi petanda kolesterol tinggi yang memerlukan perhatian lebih awal.

Menurut pegawai perubatan U.n.i Klinik Semabok Perdana, Dr. Syed Aliff Fauzan Syed Mohamad, kolesterol tinggi sering digelar sebagai pembunuh senyap kerana kebanyakan individu tidak mengalami simptom yang jelas pada peringkat awal.

“Terdapat beberapa tanda yang perlu diberi perhatian kerana ia mungkin menunjukkan gangguan pada aliran darah akibat pengumpulan kolesterol dalam saluran darah,” katanya kepada Muslimah.

Tambahnya, antara tanda yang sering berlaku ialah mudah berasa letih walaupun hanya melakukan aktiviti ringan.

Selain itu, sakit kepala dan rasa tegang pada bahagian leher yang berlaku secara kerap juga boleh menjadi petunjuk bahawa aliran darah tidak berjalan dengan lancar.

“Rasa kebas pada tangan dan kaki juga tidak boleh dipandang ringan kerana keadaan tersebut mungkin berlaku apabila saraf tidak menerima bekalan darah yang mencukupi,” katanya. 

Sesetengah individu turut mengalami sensasi mencucuk-cucuk pada jari tangan dan kaki yang berkait dengan gangguan peredaran darah.

“Tanda yang paling membimbangkan ialah sakit atau ketidakselesaan pada bahagian dada kiri kerana ia boleh berkait dengan masalah jantung dan memerlukan pemeriksaan segera,” katanya.

Amalkan gaya hidup sihat

Dr. Syed Aliff Fauzan berkata, perubahan gaya hidup memainkan peranan penting membantu mengawal tahap kolesterol.

Langkah pertama yang boleh dilakukan ialah mengamalkan pemakanan yang lebih sihat dengan mengurangkan makanan bergoreng, makanan segera dan makanan yang tinggi kandungan lemak.

Selain itu, aktiviti fizikal secara konsisten juga penting bagi membantu menurunkan tahap kolesterol serta meningkatkan kesihatan jantung.

“Luangkan sekurang-kurangnya 30 minit untuk bersenam sebanyak tiga hingga empat kali seminggu mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Di samping itu, tidur yang mencukupi antara tujuh hingga sembilan jam sehari juga membantu tubuh mengekalkan keseimbangan hormon dan kesihatan secara keseluruhan.

Jelasnya, sekiranya perubahan gaya hidup masih tidak mencukupi, doktor mungkin akan mencadangkan rawatan menggunakan ubat-ubatan tertentu bagi membantu mengawal paras kolesterol.

“Ramai individu tidak menyedari mereka mempunyai kolesterol tinggi kerana keadaan ini sering berlaku tanpa simptom yang ketara.

“Pemeriksaan kesihatan secara berkala juga sangat penting supaya tahap kolesterol dapat dipantau dan sebarang masalah dapat dikesan lebih awal,” katanya.-Muslimah