Jangan pandang remeh kesan lepuhan kecil di bibir

Orang ramai diingatkan supaya tidak memandang remeh kewujudan lepuhan kecil pada bahagian bibir, memandangkan ia salah satu petanda jangkitan virus herpes simplex yang akan kekal di dalam badan pesakit seumur hidup.

Pakar perubatan keluarga dan aktivis pencegahan HIV/STI, Dr. Ahmad RZ berkata, sebahagian besar masyarakat masih mempunyai salah faham dengan menganggap semua penyakit herpes adalah jangkitan kelamin atau penyakit jangkitan seksual (STI).

Tanggapan itu tidak tepat kerana herpes oral boleh berjangkit melalui sentuhan langsung biasa seperti berkongsi barangan peribadi atau bercium tanpa membabitkan sebarang aktiviti seksual.

“Herpes jenis ini akan kekal di dalam badan seumur hidup sebaik sahaja seseorang itu dijangkiti. Walaupun boleh dirawat untuk mengurangkan gejala, namun hakikatnya virus ini tidak boleh disembuhkan sepenuhnya,” katanya menerusi satu perkongsian maklumat kesihatan baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai variasi penyakit berkenaan, katanya, jangkitan yang melibatkan alat kelamin pula dikenali sebagai Genital Herpes. 

“Sifat penularannya berlaku secara kontak langsung melalui aktiviti seksual sama ada secara oral, vaginal mahupun anal.

“Penggunaan kondom mampu mengurangkan risiko penularan Genital Herpes namun perlindungan tersebut tidak mencapai kadar 100 peratus.

“Jangkitan masih boleh tersebar sekiranya cecair kelamin dari vagina menyentuh kawasan kulit yang tidak diliputi oleh kondom. Disebabkan itu, kes jangkitan kerap kali ditemui pada bahagian pangkal zakar pesakit,” katanya.

Tambahnya, evolusi virus menyaksikan klasifikasi jenis herpes kini sudah berubah. 

“Jika dahulu Jenis 1 sering dikaitkan dengan oral dan Jenis 2 dengan genital, situasi hari ini berbeza di mana kedua-dua jenis virus boleh menyebabkan jangkitan di mana-mana bahagian berkenaan berdasarkan kekerapan gejala berulan,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar menghentikan stigma negatif terhadap pesakit genital herpes kerana tekanan emosi amat memberi kesan terutamanya bagi golongan yang mempunyai perancangan untuk berkahwin dan membina keluarga.

Beliau juga menitipkan pesanan agar perhatian khusus diberikan kepada golongan wanita hamil yang menghidap penyakit ini kerana jangkitan aktif berisiko menyebabkan jangkitan berbahaya kepada bayi yang bakal dilahirkan walaupun langkah pencegahan awal kini sudah ada untuk menanganinya.-Muslimah