Ayam sememangnya sinonim dalam pelbagai jenis masakan seperti rendang ayam, ayam goreng, kari ayam dan ayam masak lemak yang menjadi juadah harian rakyat Malaysia.
Malah, data Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menunjukkan rakyat Malaysia merupakan antara pengguna ayam tertinggi di dunia dengan purata penggunaan daging ayam sekitar 31 hingga 45 kilogram seorang setiap tahun pada 2024.
Namun, bahagian ayam yang paling digemari seperti peha, kepak dan kulit sebenarnya boleh meningkatkan risiko kolesterol tinggi jika diambil secara berlebihan dan terlalu kerap.
Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 pula menunjukkan kira-kira 7.6 juta rakyat dewasa di Malaysia mengalami kolesterol tinggi.
Situasi itu membimbangkan kerana dianggarkan satu daripada tiga orang dewasa mempunyai masalah berkenaan.
Menurut Pegawai Dietetik Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Nurfarah Hanani Amir Hamzah, isu utama bukanlah pada isi ayam semata-mata, tetapi bahagian kulit ayam yang mengandungi kandungan lemak tepu lebih tinggi.
“Bahagian seperti kepak dan peha sukar dimakan tanpa kulit, berbeza dengan dada ayam yang lebih mudah dibuang kulit dan dimakan isinya sahaja.
“Seseorang masih boleh makan bahagian ayam tertentu dengan syarat kulit perlu dibuang sepenuhnya. Namun dalam realiti hari ini, ramai tidak membuang kulit terutama pada kepak atau kaki ayam kerana dianggap lebih sedap,” katanya kepada Muslimah.
Kulit ayam mengandungi dua jenis lemak iaitu lemak tepu dan lemak tidak tepu. Namun, lemak tepu dalam kulit ayam yang dikenali sebagai palmitic fat mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk ditukar oleh badan menjadi total kolesterol (TC) dan kolesterol jahat LDL (Low Density Lipoprotein).
Risiko lebih tinggi apabila ayam dimasak menggunakan kaedah yang menambah kandungan lemak tepu seperti menggoreng atau memasak menggunakan santan.
“Penggunaan minyak yang tinggi lemak tepu seperti minyak kelapa dan minyak kelapa sawit boleh meningkatkan risiko berbanding kaedah memasak tanpa minyak seperti rebus atau kukus.
“Apabila ayam dimasak bersama santan, badan menerima dua sumber lemak tepu dalam satu hidangan,” katanya.
Tambahnya, ramai juga mempunyai tanggapan salah di mana santan tidak memberi kesan terhadap kolesterol kerana tidak mengandungi kolesterol secara semula jadi.
“Santan memang tidak mempunyai kolesterol kerana kolesterol hanya terdapat dalam sumber haiwan, namun santan mengandungi lemak tepu yang boleh diproses oleh badan menjadi kolesterol,” katanya.
Nurfarah turut menekankan kepentingan mengawal kekerapan pengambilan makanan tinggi lemak tepu dan berpegang kepada konsep ‘frekuensi adalah kunci’.
Katanya, jika seseorang mengambil makanan bergoreng atau bersantan pada hari tertentu, mereka sepatutnya mengelakkan pengambilan makanan sama pada hari berikutnya dan mengamalkan konsep berselang-seli.
“Dengan cara itu, kekerapan pengambilan makanan tinggi lemak tepu dapat dikurangkan daripada setiap hari kepada sekitar tiga kali seminggu sahaja.
“Selain jenis lemak, jumlah dan kekerapan pengambilan juga mempengaruhi penghasilan kolesterol dalam darah,” katanya.
Bagaimanapun, tidak semua jenis lemak memberi kesan buruk kepada kesihatan kerana terdapat lemak baik yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Antara sumber lemak lebih sihat ialah ikan seperti ikan kembung, ikan siakap dan ikan salmon yang mengandungi omega bagi membantu mengurangkan kolesterol dalam badan.
Mengulas corak pemakanan rakyat Malaysia, katanya, masalah kolesterol tinggi turut dipengaruhi faktor persekitaran, pilihan makanan harian dan budaya pemakanan masyarakat.
Ramai yang makan di luar mempunyai pilihan makanan sihat yang terhad selain dipengaruhi faktor daya beli dan cita rasa keluarga.
“Selain itu, musim kenduri dan perayaan juga mempengaruhi corak pemakanan masyarakat apabila makanan seperti rendang, lodeh dan sup berlemak dihidangkan secara berlebihan,” katanya.
Nurfarah menasihatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan masalah kolesterol kerana ia merupakan ‘pembunuh senyap’ yang sering tidak menunjukkan sebarang gejala.
“Ramai tidak sedar mereka mempunyai kolesterol tinggi sehingga menjalani ujian darah kerana kolesterol tinggi boleh menyebabkan saluran darah tersumbat dan meningkatkan risiko serangan jantung secara tiba-tiba,” katanya.-Muslimah