Kerap bangun malam untuk kencing petanda masalah kesihatan serius

Tabiat kerap bangun daripada tidur sebanyak tiga kali atau lebih setiap malam semata-mata untuk membuang air kecil bukanlah satu perkara normal yang boleh dipandang remeh oleh masyarakat.

Sebaliknya, kekerapan itu mungkin merupakan petanda awal atau isyarat amaran awal bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan tahap kesihatan tubuh badan anda.

Menerusi satu perkongsian maklumat kesihatan oleh akaun Anuarmedicare, tabiat itu atau dari segi perubatannya dikenali sebagai Nokturia, sering kali dikaitkan dengan beberapa faktor klinikal yang memerlukan perhatian segera.

Antara punca utama yang sering berlaku termasuklah masalah prostat membesar bagi golongan lelaki, pundi kencing yang lemah, penyakit diabetes atau tabiat meminum air secara berlebihan sebelum masuk tidur.

“Ramai lelaki menganggap isu ini sekadar faktor usia. Hakikatnya, gangguan tidur yang berpanjangan boleh menyebabkan badan cepat letih, kurang fokus dan menjejaskan kesihatan keseluruhan,” menurut perkongsian itu.

Tambahnya, selain kekerapan bangun malam, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mengabaikan beberapa simptom lain yang datang bersama.

“Antaranya termasuklah mengalami aliran kencing yang lemah, masalah kencing tidak lawas atau rasa kerap terdesak untuk ke tandas,” jelasnya.

Sehubungan itu, masyarakat digesa untuk tidak membiarkan tanda-tanda awal ini tanpa sebarang tindakan.

“Tubuh badan sentiasa memberi isyarat sebelum sesuatu masalah kesihatan menjadi lebih serius,” tambahnya.

Orang ramai yang mengalami gejala-gejala berkenaan disarankan untuk segera mendapatkan pemeriksaan awal dan nasihat daripada pakar perubatan sebelum keadaan menjadi lebih parah. –Muslimah