Ramai Muslimah masih keliru apabila berdepan situasi keluar darah dari rahim yang tidak pasti hukumnya.
Kekeliruan ini sering menimbulkan rasa was-was dalam menentukan sah atau tidaknya ibadah harian seperti solat, puasa dan mandi wajib.
Menurut panduan kesihatan wanita oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pemahaman yang tepat mengenai perkara ini amat penting bagi memastikan setiap Muslimah dapat beribadah dalam keadaan yakin, bersih dan menepati tuntutan syarak.
Antara asas utama yang perlu difahami ialah perbezaan antara haid, nifas dan istihadah kerana setiap satunya mempunyai hukum, tempoh serta kaedah pengurusan yang berbeza dalam Islam.
Haid
Haid adalah darah semula jadi yang keluar dari rahim wanita selepas mencapai usia baligh.
Tempoh paling singkat haid ialah 24 jam, kebiasaannya antara enam hingga tujuh hari, manakala tempoh maksimum adalah 15 hari.
Sekiranya darah berterusan melebihi 15 hari, ia tidak lagi dikira sebagai haid. Jarak minimum antara dua haid pula ialah 15 hari, manakala tempoh suci tidak mempunyai had maksimum.
Wanita boleh memastikan dirinya telah suci dengan memasukkan kapas putih ke dalam faraj.
Jika tiada kesan darah, dia dikira suci dan wajib segera mandi hadas besar. Kelewatan mandi sehingga meninggalkan solat adalah berdosa.
Istihadah
Istihadah adalah darah yang keluar bukan pada waktu haid atau nifas, lazimnya berpunca daripada gangguan urat atau masalah kesihatan dalam rahim.
Darah ini tidak mewajibkan mandi hadas, namun membatalkan wuduk. Wanita yang mengalaminya tetap wajib menunaikan solat seperti biasa.
Sebelum menunaikan solat, wanita perlu memastikan masuk waktu, membersihkan kawasan yang terlibat, menggunakan tuala wanita atau pelapik serta mengambil wuduk bagi setiap solat fardu.
Nifas
Nifas adalah darah yang keluar selepas rahim bersih daripada kandungan, sama ada sejurus selepas bersalin atau selepasnya.
Tempohnya boleh jadi seketika atau berpanjangan, lazimnya antara 40 hingga 60 hari.
Sekiranya darah berterusan melebihi 60 hari, ia dikira sebagai istihadah.
Wanita wajib segera mandi hadas besar apabila darah nifas berhenti.
Dalam keadaan tidak mampu bersolat ketika proses bersalin atau selepasnya, solat perlu diqada selepas suci kerana keadaan tersebut bukan lagi nifas tetapi darah fasad.
Memahami ketiga-tiga jenis darah ini penting bagi memastikan setiap Muslimah dapat melaksanakan ibadah dalam keadaan suci dan menepati hukum yang ditetapkan.-Muslimah