Berjalan laju 15 minit sehari bantu tingkatkan kesihatan

Di tengah kesibukan menguruskan kerjaya, keluarga dan pelbagai komitmen harian, ramai wanita merasakan mereka tidak mempunyai masa untuk bersenam.

Ada yang beranggapan aktiviti fizikal perlu dilakukan dalam tempoh yang lama atau memerlukan rutin yang rumit sebelum mampu memberikan manfaat kepada kesihatan.

Namun, perubahan ke arah gaya hidup lebih sihat sebenarnya boleh bermula dengan hanya meluangkan 15 minit sehari dengan langkah yang mudah iaitu berjalan laju atau brisk walking.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Nurul Hidayah Amir berkata, brisk walking merupakan senaman kardio yang membantu meningkatkan fungsi sistem kardiovaskular termasuk jantung dan saluran darah.

“Brisk walking ialah senaman kardio yang boleh dilakukan pada intensiti ringan hingga sederhana dan sesuai untuk hampir semua individu mengikut tahap kecergasan masing-masing,” katanya kepada Muslimah.

Menurutnya, aktiviti tersebut membantu jantung mengepam darah dengan lebih cekap sekali gus membekalkan oksigen ke seluruh tubuh badan.

Mulakan secara perlahan

Ramai yang menangguhkan hasrat untuk bersenam kerana merasakan mereka perlu mencapai sasaran tertentu sebelum memperoleh manfaat kesihatan.

Ada juga yang beranggapan senaman hanya berkesan jika dilakukan sekurang-kurangnya selama sejam.

Bagaimanapun, Dr. Nurul Hidayah berkata individu yang baru ingin memulakan gaya hidup aktif tidak perlu menetapkan sasaran yang terlalu tinggi.

Katanya, berjalan selama 10 hingga 15 minit sehari sudah memadai sebagai permulaan sebelum tempoh tersebut ditambah secara berperingkat.

“Yang penting ialah mula bergerak terlebih dahulu. Tidak semestinya terus memikirkan sasaran besar kerana ia boleh menyebabkan seseorang berasa terbeban dan akhirnya berhenti,” katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), orang dewasa digalakkan melakukan aktiviti fizikal berintensiti sederhana antara 150 hingga 300 minit seminggu.

Namun, sasaran itu boleh dicapai secara beransur-ansur mengikut kemampuan masing-masing.

Menurut beliau, manfaat kesihatan tidak diperoleh dalam tempoh singkat tetapi memerlukan amalan yang konsisten.

Tidak semua sesuai

Walaupun berjalan laju dianggap antara bentuk senaman yang selamat dan mudah dilakukan, tidak semua individu sesuai melakukannya tanpa pertimbangan tertentu.

Dr. Nurul Hidayah menjelaskan bahawa individu yang mempunyai penyakit kronik disarankan mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang aktiviti fizikal.

Selain itu, mereka yang mengalami masalah melibatkan otot, tulang atau sendi juga perlu mengambil kira keadaan kesihatan masing-masing.

Sebagai contoh, individu yang mengalami osteoartritis pada lutut mungkin berdepan kesukaran untuk berjalan laju kerana pergerakan tersebut boleh menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan.

“Dalam keadaan tertentu, mungkin terdapat jenis senaman kardio lain yang lebih sesuai bergantung kepada keadaan individu tersebut,” katanya.

Konsisten lebih penting

Apabila seseorang melakukan aktiviti fizikal secara berterusan, tubuh akan menyesuaikan diri dan menjadi lebih cekap menggunakan tenaga. Keadaan itu menyebabkan jantung tidak perlu bekerja terlalu kuat untuk membekalkan oksigen ke seluruh badan ketika melakukan aktiviti yang sama.

“Ini menunjukkan tahap kecergasan semakin meningkat dan sistem kardiovaskular menjadi lebih cekap,” katanya.

Jelasnya, bagi wanita yang sering merasakan diri terlalu sibuk untuk bersenam, berjalan laju selama beberapa minit sehari boleh menjadi langkah pertama yang praktikal untuk menjaga kesihatan.

Yang penting bukanlah sejauh mana seseorang bermula, tetapi sejauh mana mereka mampu kekal konsisten dalam menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutinharian. –Muslimah