Kafein punca senggugut lebih teruk

Minum kopi sudah menjadi rutin harian bagi ramai wanita. Namun, tabiat ini sebenarnya boleh memberi kesan kepada tahap kesakitan semasa haid iaitu senggugut.

Perkara itu dikongsikan pegawai perubatan dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Nurul Ain Saari di platform media sosial yang menjelaskan kandungan kafein dalam kopi boleh mempengaruhi keadaan tubuh, khususnya ketika haid. 

“Kafein mempunyai kesan terhadap salur darah dan otot rahim, sekali gus boleh menyebabkan senggugut menjadi lebih mencengkam,” katanya

Kafein ialah sejenis vasoconstrictor iaitu bahan yang menyebabkan salur darah mengecut. 

Apabila salur darah menjadi sempit, aliran darah haid boleh menjadi lebih perlahan dan ini menyebabkan rasa sakit menjadi lebih kuat.

Selain itu, kafein juga boleh meningkatkan paras prostaglandin dalam badan. Prostaglandin merupakan bahan kimia yang berperanan dalam proses pengecutan otot rahim.

Apabila paras prostaglandin meningkat, pengecutan rahim menjadi lebih kuat dan keadaan ini boleh menyebabkan senggugut terasa lebih sakit daripada biasa.

Pengambilan kopi juga boleh memberi kesan kepada sistem penghadaman. Sesetengah wanita mungkin mengalami kejang perut atau sembelit sekaligus memburukkan lagi rasa tidak selesa ketika haid.

Keadaan ini berlaku kerana kedudukan usus besar yang berada berhampiran rahim, menyebabkan tekanan tambahan pada bahagian tersebut apabila usus penuh.

“Kafein juga bersifat diuretik, iaitu membantu mengeluarkan air dari badan. Apabila badan kurang air, ia boleh menyebabkan kembung dan kekejangan perut,” katanya.

Bagi wanita yang mengalami simptom pra-haid (PMS) seperti mudah marah, gelisah dan perubahan emosi, pengambilan kopi juga boleh membuatkan keadaan itu menjadi lebih ketara.

Begitupun, tidak semua individu mengalami kesan yang sama, ada juga yang merasakan pengambilan kafein dalam jumlah sederhana membantu meningkatkan mood.

Dalam keadaan ini, pengambilan kopi masih boleh diamalkan tetapi tidak melebihi 400 miligram kafein sehari.

Mengurangkan pengambilan kopi ketika haid mungkin membantu mengurangkan rasa sakit dan ketidakselesaan bagi wanita yang sering mengalami senggugut teruk.-Muslimah