Pernahkah kita berada dalam situasi apabila seorang wanita meluahkan rasa penat, sedih atau tertekan, lalu ada yang segera mengaitkannya dengan kemungkinan dia sedang datang bulan?
Bagi sesetengah orang, ia mungkin sekadar gurauan, namun hakikatnya, ramai wanita berdepan pelbagai cabaran hidup yang jauh lebih besar daripada sekadar perubahan hormon.
Daripada tekanan kewangan, tanggungjawab keluarga, tuntutan kerjaya hinggalah keletihan mengurus rumah tangga, semua perkara ini boleh memberi kesan kepada emosi dan kesejahteraan mental seseorang.
Menurut perkongsian di media sosial Pegawai Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) MERCY Malaysia, Nur Maryam Razmein, hormon memang memainkan peranan terhadap emosi wanita, namun ia bukan satu-satunya faktor yang menentukan keadaan mental dan emosi seseorang.
“Hormon mempunyai pengaruh terhadap emosi, tetapi perubahan emosi dan kesihatan mental tidak berlaku disebabkan hormon semata-mata.
“Terdapat banyak faktor lain yang turut mempengaruhi kesejahteraan emosi seseorang termasuk tekanan kewangan, masalah keluarga, cabaran pekerjaan dan pelbagai situasi kehidupan yang dihadapi setiap hari,” katanya.
Ramai wanita sedang berjuang
Dalam kehidupan seharian, ramai wanita memikul pelbagai tanggungjawab dalam satu masa.
“Ada yang berusaha mengimbangi kerjaya dan keluarga, tidak kurang juga yang berdepan konflik rumah tangga, cabaran membesarkan anak atau kebimbangan tentang masa depan.
“Semua tekanan ini boleh mempengaruhi emosi seseorang tanpa mengira sama ada mereka sedang mengalami perubahan hormon atau tidak,” katanya.
Justeru, apabila seorang wanita kelihatan lebih sensitif atau mudah tersentuh, tidak adil untuk terus mengaitkannya dengan haid atau hormon tanpa memahami apa yang sedang dilaluinya.
Hormon bukan satu-satunya punca
Menurut Nur Maryam, hormon mempunyai hubungan rapat dengan emosi kerana ia mempengaruhi neurotransmiter, iaitu bahan kimia dalam otak yang membantu mengawal mood, tenaga dan tindak balas emosi.
“Perubahan hormon yang berlaku sepanjang kitaran haid, kehamilan atau fasa tertentu dalam kehidupan wanita sememangnya boleh mempengaruhi perasaan dan tingkah laku,” katanya.
Namun pada masa sama, faktor persekitaran, pengalaman hidup dan tahap tekanan yang dihadapi turut memainkan peranan besar terhadap kesejahteraan mental seseorang.
Dalam sesetengah keadaan, tekanan hidup yang berpanjangan boleh memberi kesan yang lebih besar berbanding perubahan hormon itu sendiri.
Tanggapan di mana wanita bersikap demikian kerana hormon mungkin sudah biasa, tetapi ia boleh menyebabkan perasaan mereka dipandang remeh.
Apabila setiap luahan atau reaksi emosi dikaitkan dengan hormon, masyarakat secara tidak langsung mengabaikan kemungkinan bahawa wanita tersebut sebenarnya sedang berdepan tekanan, keletihan atau cabaran hidup yang serius.
“ Lebih membimbangkan, keadaan ini boleh menyebabkan isu kesihatan mental seperti tekanan melampau, keletihan emosi (emotional exhaustion) atau kebimbangan tidak diberikan perhatian sewajarnya kerana dianggap sebagai sesuatu yang normal,” katanya
Dalam jangka panjang, wanita mungkin berasa sukar untuk mendapatkan sokongan kerana perasaan mereka tidak diambil serius.
Wanita perlukan empati, bukan andaian
Kesedaran mengenai kesihatan mental semakin meningkat, namun masih ramai yang cenderung membuat andaian sebelum memahami situasi sebenar yang dihadapi seseorang.
Daripada terus melabel wanita sebagai terlalu emosional atau menyalahkan hormon setiap kali mereka menunjukkan perubahan emosi, masyarakat perlu belajar untuk mendengar dengan lebih empati.
Hakikatnya, setiap individu sedang melalui perjuangan yang berbeza.
Di sebalik senyuman yang dipamerkan, mungkin ada keletihan yang dipendam, tekanan yang tidak diluahkan atau beban yang sedang ditanggung sendirian.-Muslimah