Ramai orang sangka untuk nampak high class, wanita perlu memakai pakaian mahal, beg berjenama atau sentiasa tampil mewah dari hujung rambut sampai hujung kaki.
Hakikatnya, aura seorang Muslimah yang elegan sebenarnya datang daripada cara pembawaan diri dan bukan semata-mata apa yang dipakai.
Kadang-kadang, wanita yang berpakaian paling sederhana itulah yang paling menyerlah auranya.
Ada kelembutan, ada keyakinan dan ada ketenangan yang membuatkan orang senang memandang. Nak tahu caranya?
1. Cara jalan dan bahasa tubuh yang tenang
Percaya atau tidak, cara seseorang berjalan boleh menggambarkan personalitinya. Wanita yang nampak elegan biasanya berjalan dengan tenang, tidak tergesa-gesa dan menjaga postur badan.
Tidak perlu terlalu laju atau terlalu menonjol. Cukup dengan langkah yang sopan dan penuh yakin. Begitu juga ketika bercakap atau duduk. Bahasa tubuh yang lembut dan tertib membuatkan wanita nampak lebih matang dan eksklusif.
Aura mahal bukan menunjuk-nunjuk benda, tetapi ketenangan dalam membawa diri.
2. Pilihan warna clean
Muslimah yang nampak classy selalunya memilih warna-warna lembut dan minimal seperti beige, putih, hitam, merah jambu pucat, hijau zaitun atau rona tanah. Warna-warna ini memberi tampilan yang lebih kemas dan matang tanpa berlebihan.
Bukan bermaksud tidak boleh memakai warna terang, tetapi pemilihan warna yang terlalu banyak dalam satu gaya kadangkala membuatkan penampilan nampak serabut.
Ringkas lebih cantik. Kadang-kadang jubah polos dengan tudung yang kemas sudah cukup membuatkan individu nampak mahal.
3. Wangian lembut dan menenangkan
Minyak wangi juga memainkan peranan besar dalam penampilan seorang wanita. Tidak perlu wangian terlalu kuat sampai satu ruang boleh menghidu kehadiran kita.
Wanita yang elegan biasanya memilih haruman yang lembut, segar dan menenangkan. Bau yang lembut memberi aura feminin dan classy tanpa perlu mencuba terlalu keras untuk menarik perhatian.
Kadang-kadang, orang tidak ingat apa yang kita pakai, tetapi mereka ingat bagaimana ‘tenangnya’ rasa bila berada dekat dengan kita.
4. Kelakukan lebih penting daripada penampilan
Ini yang paling utama. Secantik mana pun pakaian seorang wanita, jika sikapnya kasar, suka memperlekeh orang atau terlalu menunjuk, aura elegan akan hilang.
Muslimah yang nampak high class biasanya menjaga percakapan, menghormati orang lain dan tidak suka bersaing secara berlebihan. Mereka selesa menjadi diri sendiri tanpa perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa.
Sopan santun dan adab ‘aksesori’ paling mahal seorang wanita.
5. Yakin dengan diri sendiri
Wanita yang yakin tidak semestinya sempurna, tetapi dia tahu nilai dirinya. Dia tidak terlalu membandingkan hidupnya dengan orang lain dan tidak terlalu mengejar validasi media sosial.
Apabila seorang wanita mula selesa dengan dirinya sendiri, auranya akan berubah secara semula jadi. Dia nampak lebih tenang, lebih matang dan lebih berseri.
Kesimpulannya, wanita yang benar-benar elegan tidak perlu terlalu mencuba untuk menarik perhatian. Auranya sudah cukup membuat orang menghormati.-Muslimah