Dalam dunia fesyen yang semakin berkembang, Muslimah hari ini tidak terkecuali daripada mengikuti trend semasa.
Begitupun, aspek pematuhan syariah tidak boleh diketepikan.
Pemakaian wanita Muslimah bukan sekadar soal kecantikan atau budaya, tetapi satu tuntutan agama yang bertujuan menjaga maruah dan kehormatan
Berdasarkan panduan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, pakaian dalam Islam bukan hanya berfungsi sebagai perhiasan, tetapi sebagai penutup aurat dan pelindung diri.
Ia selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 26 yang menjelaskan pakaian bukan sahaja menutup aurat, malah pakaian taqwa adalah yang terbaik.
Menutup aurat dengan sempurna
Asas utama dalam berpakaian ialah menutup aurat. Muslimah diwajibkan menutup seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan.
Ini bermakna setiap busana yang dipilih perlu memenuhi syarat ini tanpa kompromi, walaupun mengikut trend semasa.
Tidak ketat dan tidak menampakkan bentuk tubuh
Islam turut menekankan agar pakaian tidak terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan.
Dalam hadis, Rasulullah SAW menyebut tentang golongan wanita yang ‘berpakaian tetapi bertelanjang’, iaitu yang memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna.
Ini menunjukkan fungsi pakaian adalah untuk menutup, bukan menonjolkan bentuk tubuh.
Tidak menyerupai pakaian lelaki
Wanita juga dilarang memakai pakaian yang menyerupai lelaki.
Larangan ini bertujuan menjaga identiti dan fitrah individu agar tidak bercampur antara ciri maskulin dan feminin dalam cara berpakaian.
Tidak jarang atau nipis
Pemilihan fabrik memainkan peranan penting dalam fesyen Muslimah.
Pakaian yang terlalu nipis sehingga menampakkan susuk tubuh adalah tidak dibenarkan.
Hadis turut menyebut golongan wanita yang memakai pakaian nipis sehingga tidak layak memasuki syurga, menunjukkan betapa seriusnya perkara ini dalam Islam.
Tidak menyerupai pakaian agama lain atau golongan fasik
Islam juga melarang umatnya meniru pakaian yang menjadi simbol agama lain atau golongan yang tidak mencerminkan nilai Islam.
Pakaian bukan sekadar penampilan, tetapi juga membawa identiti dan mesej tertentu kepada masyarakat.
Tidak berlebihan atau menarik perhatian (tabarruj)
Dalam bergaya, kesederhanaan adalah kunci utama. Pakaian yang terlalu menonjol, berkilau atau bertujuan menarik perhatian termasuk dalam kategori tabarruj yang dilarang.
Muslimah digalakkan untuk tampil kemas dan cantik, tetapi dalam batas yang tidak melampaui syariat.
Apabila garis panduan ini dipatuhi, penampilan seseorang bukan sahaja kelihatan sopan, tetapi turut mencerminkan keperibadian sebagai seorang Muslimah.
Fesyen dalam Islam bukan bertujuan menyulitkan, sebaliknya menjadi pelindung kepada maruah dan harga diri wanita.
Dalam dunia fesyen yang penuh dengan pengaruh luar, kembali kepada asas adalah langkah terbaik. –Muslimah