Muslimah mula tinggalkan ‘fast fashion’?

Trend fesyen pantas ( fast fashion) kini bukan lagi pilihan utama bagi segelintir besar pengguna terutamanya wanita.

Jika dahulu rekaan pakaian yang sentiasa dikemas kini mengikut trend semasa dengan harga murah menjadi kegilaan, kini kesedaran terhadap impak buruk industri tersebut mencetuskan gelombang perubahan gaya hidup yang lebih lestari.

Menurut perkongsian platform kesedaran alam sekitar, Slow The Cycle, terdapat lambakan sisa tekstil yang sangat luar biasa di seluruh dunia pada ketika ini. 

Terdapat ratusan juta helai pakaian dihasilkan setiap hari semata-mata demi memenuhi trend semasa, sekali gus menyumbang secara drastik kepada peningkatan jejak karbon dan krisis perubahan iklim global.

“Kita perlu mempersoalkan tindakan beberapa syarikat gergasi yang mendakwa mereka mengamalkan konsep lestari, sedangkan hakikatnya mereka masih menggunakan bahan sintetik dalam skala yang sangat besar,” kata wakil platform tersebut menerusi satu hantaran baru-baru ini.

Tambahnya, penggunaan bahan sintetik tersebut merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada pencemaran mikroplastik yang serius di lautan ketika ini.

Selain isu kemusnahan alam sekitar, sisi gelap industri fesyen juga melibatkan eksploitasi dan pengabaian hak kebajikan para pekerja kilang pakaian. 

“Kebanyakan tenaga kerja ini dipaksa bekerja dalam persekitaran yang sangat berbahaya serta tidak berperikemanusiaan.

“Malah, situasi menjadi lebih parah apabila wujudnya laporan mengenai penahanan wang pampasan, isu kerja lebih masa tanpa bayaran serta kadar gaji yang terlalu rendah dan tidak setimpal dengan kos sara hidup semasa,” katanya. 

Menyedari impak negatif yang berterusan ini, ramai wanita kini mengambil langkah proaktif dengan beralih arah ke arah fesyen lestari. 

Langkah ini diambil dengan menyokong jenama-jenama alternatif yang lebih telus, mengutamakan pemuliharaan alam sekitar, serta menjaga etika kebajikan pekerja mereka secara adil.-Muslimah