5 tip fesyen Muslimah mesra cuaca panas

Cuaca panas yang berpanjangan sejak kebelakangan ini memberi kesan kepada rutin harian, khususnya bagi  yang aktif di luar rumah. 

Dalam keadaan suhu yang meningkat, pemilihan pakaian bukan lagi sekadar soal gaya, tetapi turut melibatkan aspek keselesaan tubuh.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), keadaan cuaca panas di Malaysia dijangka berterusan dalam tempoh beberapa bulan, dengan beberapa kawasan di Semenanjung merekodkan suhu tinggi sehingga mencecah tahap amaran berjaga-jaga.

Fenomena ini lazim berlaku ketika peralihan monsun serta dipengaruhi faktor cuaca global.

Bagi Muslimah, sudah tentu situasi semasa ini menuntut pemilihan pakaian yang bukan sahaja sopan, tetapi juga sesuai dengan cuaca semasa.

Berikut lima tip fesyen Muslimah yang boleh dicuba untuk mengelakkan haba panas yang keterlaluan:

  1. Pilih fabrik ringan dan ‘bernafas’

Pemilihan fabrik menjadi faktor utama bagi memastikan keselesaan. 

Bahan seperti kapas dan linen sangat sesuai kerana memberikan pengudaraan yang baik serta membantu menyerap peluh. Ia juga mengurangkan rasa melekit pada kulit dan sesuai dipakai sepanjang hari. 

  1. Utamakan warna cerah dan pastel

Warna pakaian memainkan peranan besar mengurangkan rasa panas. Warna cerah seperti putih, krim dan pastel lebih sesuai kerana ia memantulkan cahaya matahari berbanding menyerap haba.

Selain memberi kesan lebih sejuk, tona lembut ini juga membantu penampilan Muslimah tampak lebih segar, kemas dan elegan walaupun dalam cuaca yang mencabar.

  1. Pakai potongan longgar untuk pengudaraan lebih baik

Rekaan pakaian longgar seperti blouse oversized, jubah moden atau palazzo sangat sesuai dipakai ketika cuaca panas.

Potongan longgar membantu aliran udara lebih lancar di dalam pakaian, sekali gus mengurangkan rasa panas berlebihan. Dalam masa yang sama, ia masih mengekalkan kesopanan serta memberi ruang pergerakan yang lebih selesa.

  1. Pilih hijab ringan dan nipis 

Pilih material hijab yang ringan dan ‘bernafas’ seperti bawal kapas, voile, chiffon ringan atau linen kerana lebih mudah menyerap peluh dan tidak memerangkap haba. 

Selain kekal kemas, fabrik ini juga membantu mengurangkan rasa panas di bahagian kepala dan leher serta memastikan pemakai selesa sepanjang hari. 

  1. Pilih pakaian seperti jubah atau gaun yang lebih praktikal 

Pakaian seperti gaun panjang  atau jubah moden menjadi pilihan terbaik ketika cuaca panas kerana ia tidak memerlukan layering yang banyak.

Rekaan ini bukan sahaja mudah dipakai, malah memberi keselesaan maksimum dan masih mengekalkan gaya sopan. Ia juga boleh dipadankan dengan baju luar yang nipis jika ingin lebih bergaya.

Cuaca panas yang melanda bukan penghalang untuk Muslimah kekal bergaya dan selesa dalam kehidupan seharian. –Muslimah