Tip pilih anak tudung agar kekal selesa dan kemas sepanjang hari 

Bagi wanita bertudung, anak tudung bukan sekadar pelengkap gaya, tetapi memainkan peranan penting untuk memastikan tudung kekal kemas, selesa dan mudah dibentuk sepanjang hari.

Pemilihan anak tudung yang sesuai bukan sahaja membantu penampilan kelihatan lebih rapi, malah mampu mengelakkan masalah seperti sakit kepala, rasa panas berlebihan dan tudung mudah bergerak.

Kini, terdapat pelbagai jenis anak tudung di pasaran dengan material dan rekaan berbeza mengikut keselesaan pemakai.

Namun, ramai wanita masih melakukan kesilapan dengan memilih hanya berdasarkan trend tanpa mengambil kira faktor keselesaan.

Pilih material yang sejuk dan menyerap peluh

Antara perkara paling penting ketika memilih anak tudung ialah jenis fabrik yang digunakan.

Material kapas lembut sering menjadi pilihan ramai kerana sifatnya yang menyerap peluh dengan baik serta memberikan rasa sejuk apabila dipakai dalam tempoh lama.

Selain itu, fabrik jenis ini juga membantu tudung lebih mudah dibentuk dan tidak mudah tergelincir.

Sebaliknya, anak tudung berbahan lycra atau fabrik terlalu licin kurang sesuai dipakai untuk tempoh panjang kerana mudah menyebabkan tudung bergerak dan rasa panas pada kulit kepala.

Material terlalu tebal juga boleh menyebabkan tekanan pada telinga dan kepala sehingga membuatkan pemakai rasa tidak selesa.

Warna neutral

Pemilihan warna inner tudung juga memainkan peranan penting untuk memastikan penampilan kelihatan lebih kemas dan mudah dipadankan dengan pelbagai warna tudung.

Antara warna yang sering menjadi pilihan ialah hitam, biru navy, putih, kelabu dan coklat kerana bersifat neutral serta sesuai dipakai harian.

Bagi wanita yang mempunyai bentuk wajah bulat atau lebar, pemilihan warna anak tudung yang terlalu cerah juga sebaiknya dielakkan kerana boleh membuatkan wajah kelihatan lebih berisi.

Jenis anak tudung yang popular

– Anak tudung snowcap

Merupakan jenis paling biasa digunakan oleh wanita bertudung termasuk golongan dewasa dan kanak-kanak.

Kebanyakannya diperbuat daripada material kapas dan hadir dalam pelbagai pilihan warna.

Terdapat beberapa rekaan seperti bertutup penuh, mempunyai bukaan di belakang serta jenis bertali yang boleh dilaraskan mengikut saiz kepala.

Jenis ini sesuai untuk kegunaan harian kerana mudah dipakai dan selesa.

Anak tudung ninja

Anak tudung ninja direka khas untuk menutupi bahagian leher, dada dan belakang dengan lebih sempurna.

Ia sangat sesuai dipakai bersama tudung yang sedikit jarang kerana memberikan perlindungan tambahan tanpa perlu memakai lapisan lain.

Ia turut hadir dalam pelbagai rekaan seperti berdagu, bertali dan potongan biasa.

Namun, pemakai disarankan memilih fabrik cotton berbanding lycra agar lebih selesa dan tidak mudah bergerak.-Muslimah