“Ramai sambut Nuzul al-Quran tapi tak faham makna,”- Ustazah Asma Harun beri penjelasan

Setiap kali tiba 17 Ramadan, umat Islam di Malaysia akan menyambut Nuzul al-Quran. Masjid dan surau mengadakan ceramah, media sosial dipenuhi ucapan dan poster peringatan.

Namun hakikatnya, masih ramai yang menyambutnya sekadar tradisi tanpa benar-benar memahami makna sebenar di sebalik peristiwa agung ini.

Melalui satu perkongsian di Instagram, Ustazah Asma Harun menjelaskan Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa penurunan al-Quran yang menjadi panduan hidup bagi seluruh umat Islam.

Menurut beliau, terdapat dua peringkat penurunan al-Quran yang perlu difahami oleh umat Islam.

Pertama, al-Quran diturunkan daripada Luh Mahfuz ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar. Malam ini merupakan malam yang sangat istimewa dan waktunya dirahsiakan oleh Allah SWT.

Tiada siapa yang mengetahui secara pasti bila berlakunya malam tersebut, namun ia disebut sebagai malam yang penuh keberkatan.

Peringkat kedua pula, al-Quran diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril.

Daripada tempoh itu, 13 tahun berlaku di Mekah manakala 10 tahun lagi di Madinah.

Menurut Ustazah Asma, kali pertama wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW berlaku pada 17 Ramadan, yang menjadi asas kepada sambutan Nuzul al-Quran pada hari ini.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,.”-(Surah Al-Baqarah: 185)

“Kita berada di bulan diturunkan Al-Quran. Barakallah. Bacalah, kerana itulah asas Nuzul Al-Quran yang menjadikan kita umat Nabi Muhammad SAW yang sentiasa mencari ilmu, mencintai ilmu, menyebarkan ilmu dan beramal dengan ilmu. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Menciptakan,” kongsinya.-Muslimah