Bagi ramai wanita, yang paling ditakuti dalam perkahwinan bukanlah hidup serba sederhana, tetapi apabila segala pengorbanan yang dilakukan tidak dihargai malah dipandang rendah oleh pasangan.
Itulah luahan seorang wanita dikenali sebagai @aranauraaaaaaaa di platform Threads, apabila mendakwa dirinya terguris selepas dilabel sebagai ‘pelahap’ oleh suami ketika sedang melalui fasa menyusukan anak.
Menurutnya, insiden tersebut berlaku apabila suaminya membandingkan dirinya dengan seorang wanita lain yang dikatakan tidak makan dalam kuantiti yang banyak sepertinya.
“Walaupun ada yang menganggap ia hanya sekadar gurauan, kata-kata tersbut cukup meninggalkan kesan mendalam kerana saya sedang dalam fasa penyusuan yang memerlukan tenaga dan makanan yang mencukupi,” luahnya.
Lebih menyentuh hati, wanita itu mendakwa sejak kandungan berusia tujuh bulan sehingga melahirkan anak, dia hanya menikmati lauk berasaskan telur setiap hari.
“Namun, saya tidak pernah jadikan isu kerana hanya itu sahaja yang suami saya mampu, tetapi apa yang buat saya betul-betul terluka apabila saya dihina dan tidak dihargai oleh suami saya,” kongsinya.
Tambahnya, dia hanya makan dua kali sehari dan tidak merasakan dirinya mengambil makanan secara berlebihan seperti yang didakwa.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi warga maya yang melihat isu berkenaan daripada sudut yang lebih besar daripada soal kemampuan kewangan semata-mata.
Ramai berpendapat rumah tangga yang bahagia tidak hanya bergantung kepada kemewahan atau jumlah wang yang dimiliki pasangan.
Sebaliknya, rasa hormat, empati dan cara pasangan berkomunikasi ketika berdepan kesusahan jauh lebih penting untuk menjaga keharmonian hubungan.
Bagi sesetengah wanita, kesempitan hidup boleh dihadapi bersama-sama. Namun penghinaan yang datang daripada pasangan sendiri sering meninggalkan luka emosi yang lebih mendalam dan sukar dilupakan.-Muslimah