Ramai wanita mengeluh sukar mengekalkan minat pasangan dan menjadi sosok yang sentiasa dihargai.
Silapnya, kerana mereka menganggap kecantikan fizikal kunci segala-galanya sedangkan psikologi manusia bekerja dengan cara yang jauh lebih unik.
Menurut perkongsian daripada pakar psikologi, Saifullah Abdullah, daya tarikan seorang wanita sebenarnya tidak terletak pada paras rupa semata-mata sebaliknya pada cara mengendalikan emosi dan ruang dalam perhubungan.
“Wanita macam ini biasanya tenang. Dia tidak bertindak secara berlebihan, tidak terlalu terdesak untuk perhatian dan dia tahu bila perlu mendekat atau memberi ruang,” katanya.
Ada satu fasa yang dipanggil pemburuan di dalam otak lelaki. Apabila sesuatu itu terlalu mudah diperoleh, minat lelaki akan cepat pudar.
“Namun, apabila seorang wanita mempunyai kawalan emosi yang tinggi dan tidak memberikan segalanya secara sekaligus, hal ini mewujudkan satu ‘misteri’ yang membuatkan lelaki berasa perlu berusaha lebih keras,” katanya.
Justeru, rahsia sebenar punca lelaki sukar melupakan wanita sebegini adalah kerana ‘pelaburan’ emosi yang telah mereka lakukan.
“Apabila seorang lelaki perlu berusaha, berfikir dan memberi perhatian untuk memenangi hati wanita tersebut, secara tidak sedar dia sedang membina ikatan emosi yang sangat kuat.
“Karakter wanita yang tenang dan mempunyai nilai diri yang tinggi ini dilihat lebih ‘mahal’ di mata lelaki.
“Cara ini bukan tentang teknik manipulasi yang negatif tetapi lebih kepada kebijaksanaan dalam mengawal tindak balas, memberi ruang dan matang dalam hubungan,” katanya.
Menariknya, lelaki sebenarnya tidak mencari wanita yang sempurna daripada segala aspek.
Sebaliknya, mereka lebih mudah terpikat dan terikat dengan wanita yang mampu mengawal situasi, emosi dan cara berinteraksi dalam hubungan.
“Apabila lelaki rasa dia telah berusaha dan ‘berjuang’ untuk mendapatkan tempat dalam hidup wanita tersebut, dia akan lebih menghargai setiap detik yang dilalui bersama.
“Inilah yang menyebabkan sosok wanita sebegini sering kali dianggap sebagai ‘cinta mati’ bagi sesetengah lelaki,” katanya.
Kecantikan mungkin boleh menarik perhatian pada pandangan pertama namun kebijaksanaan emosi dan karakter yang tenang itulah yang akan mengunci hati pasangan untuk jangka masa panjang.-Muslimah