Terapi Sandtray bantu wanita luahkan emosi terpendam

Penderitaan emosi yang dialami wanita membuat mereka memilih untuk memendam perasaan apabila berdepan tekanan hidup, terutama apabila melibatkan konflik keluarga, hubungan yang tidak sihat atau beban emosi yang sukar dikongsi dengan orang lain.

Ada yang menyimpan perasaan tersebut bertahun-tahun kerana tidak tahu bagaimana untuk meluahkannya, manakala sebahagian lagi sukar mengenal pasti punca sebenar tekanan yang sedang dialami.

Menurut Pakar Terapi Sandtray, Siti Monauwarah Mokhtar, keadaan itu menyebabkan ramai wanita memerlukan pendekatan yang dapat membantu mereka memahami dan mengekspresikan emosi dengan lebih selamat.

Katanya, terapi sandtray merupakan salah satu kaedah dalam kaunseling yang sesuai untuk individu yang sukar meluahkan perasaan atau tidak pasti punca sebenar masalah yang dihadapi.

“Terapi bercakap masih digunakan dalam sesi kaunseling, tetapi sandtray menjadi alat tambahan yang membantu proses meneroka emosi dengan lebih mendalam,” katanya kepada Muslimah ketika program Sandtray Therapy anjuran She Space di Cyberjaya baru-baru ini.

Bagaimana terapi sandtray berfungsi?

Menurut beliau, terapi tersebut menggunakan dulang berisi pasir dan pelbagai objek miniatur yang mewakili elemen kehidupan seperti manusia, haiwan, kenderaan, bangunan dan simbol tertentu.

Peserta akan memilih serta menyusun objek mengikut keadaan, pengalaman atau perasaan yang sedang dialami.

Katanya, simbol yang dipilih tidak mempunyai makna yang tetap kerana setiap individu mentafsirkan simbol berdasarkan pengalaman hidup masing-masing.

“Sebagai contoh, seseorang mungkin memilih harimau kerana melihatnya sebagai simbol kekuatan, manakala individu lain pula mengaitkannya dengan ketakutan atau pengalaman tertentu dalam hidup mereka,” katanya.

Melalui susunan simbol tersebut, kaunselor dapat membantu peserta meneroka emosi dan pengalaman yang mungkin tersimpan dalam minda separa sedar.

Membantu kenal pasti emosi yang terpendam

Menurut Siti Monauwarah, banyak pengalaman hidup dan emosi yang tidak disedari sebenarnya tersimpan dalam minda separa sedar.

Walaupun seseorang tidak mengingati pengalaman tersebut secara langsung, ia masih boleh mempengaruhi personaliti, tingkah laku dan cara berfikir ketika dewasa.

“Mereka akan memilih simbol yang mewakili pengalaman hidup tanpa sedar. Daripada situ, kaunselor akan membantu mereka memahami makna di sebalik simbol tersebut melalui soalan dan pendekatan kaunseling yang sesuai,” katanya.

Juga, semakin banyak elemen yang diletaka dalam sandtary, semakin banyak isu atau pengalaman yang sedang diperoses oleh individu tersebut.

Konflik keluarga antara isu paling kerap

Berdasarkan pengalaman mengendalikan sesi terapi, antara isu yang paling kerap muncul dalam kalangan wanita ialah cabaran berkaitan keluarga.

Menurut beliau, konflik keluarga, hubungan yang toksik serta tekanan yang berpunca daripada individu terdekat sering menjadi beban emosi yang sukar diluahkan.

“Ramai wanita menyimpan perasaan tersebut dalam tempoh yang lama kerana bimbang terhadap reaksi orang lain atau tidak tahu bagaimana untuk meluahkan apa yang mereka rasakan,” katanya.

Justeru, terapi sandtray menjadi medium yang membantu mereka mengekspresikan pengalaman dan emosi yang selama ini terpendam, sekali gus memahami keadaan diri dengan lebih jelas.

Walaupun pada awalnya ramai menganggap objek miniatur yang digunakan hanyalah permainan biasa, persepsi tersebut berubah apabila mereka mula melihat kaitan antara simbol yang dipilih dengan pengalaman hidup sendiri.

Menurut beliau, matlamat utama kaunseling bukan untuk memaksa seseorang berubah secara mendadak, sebaliknya membantu mereka mencapai kesedaran diri dan memahami apa yang sedang berlaku dalam kehidupan mereka.

“Apabila seseorang mula memahami emosi dan punca tekanan yang dihadapi, proses pemulihan akan menjadi lebih mudah,” katanya. –Muslimah