Tabiat gemar makan makanan yang masin atau tinggi kandungan garam kini menjadi satu trend pemakanan yang membimbangkan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Menurut data terbaharu daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), dianggarkan sebanyak tiga daripada empat orang dewasa di Malaysia mengambil diet tinggi garam yang jauh melebihi daripada paras saranan yang ditetapkan.
Faktor kecenderungan masyarakat hari ini yang lebih memilih makanan luar, makanan segera serta penambahan pelbagai jenis sos dalam hidangan harian menyumbang secara ketara kepada peningkatan statistik berkenaan.
Pegawai Sains Pemakanan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Faiz berkata, pihaknya kini berusaha memberi kesedaran kepada awam hidangan yang sedap sebenarnya tidak semestinya perlu terasa masin.
Pengguna dinasihatkan agar mengehadkan pengambilan garam harian mereka agar tidak melebihi satu sudu teh sahaja sehari.
“Had ini juga perlulah merangkumi garam tersembunyi yang sering kita abaikan di dalam masakan harian seperti penggunaan kicap, sos cili, sos tomato dan pelbagai perasa tambahan lain,” katanya menerusi satu hantaran video kesedaran pemakanan baru-baru ini.
Tambahnya, pengurangan pengambilan garam harian adalah langkah pencegahan awal yang sangat penting bagi mengurangkan risiko pelbagai penyakit kronik yang boleh membawa maut.
“Antara komplikasi kesihatan utama yang berkait rapat dengan tabiat mengambil makanan terlalu masin ini termasuklah hipertensi, serangan sakit jantung, strok, kanser dan kerosakan buah pinggang,” katanya.
Slogan ‘Tak Masin Tu Okay’ perlu diterapkan dalam minda masyarakat bermula dari dapur rumah masing-masing bagi melahirkan generasi Malaysia yang lebih sihat pada masa hadapan.-Muslimah