Konsep sekufu dalam perkahwinan mungkin dianggap perkara remeh oleh sesetengah pasangan yang sedang hangat bercinta.
Hakikatnya, Islam menggariskan sekufu atau kafa’ah sebagai salah satu panduan penting bagi membantu pasangan membina rumah tangga yang lebih harmoni dan stabil dalam jangka panjang.
Sekufu bukan sekadar merujuk kepada soal kekayaan atau status sosial semata-mata, tetapi turut melibatkan aspek agama, cara hidup, latar belakang, pekerjaan serta tahap kefahaman antara pasangan.
Keserasian inilah yang membantu suami isteri lebih mudah menyesuaikan diri selepas berkahwin.
Pada awal perkahwinan, perbezaan-perbezaan kecil mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah.
Malah ada pasangan saling menyokong dan saling memperbaiki.
Namun lama-kelamaan, segalanya boleh berubah apabila muncul rasa rendah diri, kurang dihargai atau perasaan tidak setara dalam hubungan.
Ada juga pasangan yang mula mengungkit soal pendapatan, kerjaya dan kedudukan ketika bertengkar sehingga menjejaskan keharmonian rumah tangga.
Dalam situasi tertentu, perbezaan pencapaian itu akhirnya menjadi ‘duri halus’ yang perlahan-lahan merosakkan hubungan.
Menurut perkongsian penceramah motivasi kekeluargaan, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, keadaan pasangan yang tidak sekufu mungkin tidak menimbulkan masalah ketika hubungan berada dalam keadaan baik.
“Namun ketika berdepan fasa sukar atau pergaduhan, isu ketidakseimbangan itu boleh mula timbul apabila pasangan mudah terlepas cakap dan mengungkit perkara tertentu.
“Ia mungkin tidak terasa ketika hubungan baik, tetapi apabila bergaduh perkara seperti siapa lebih berjaya atau lebih berpengaruh boleh menjadi punca konflik,” katanya menerusi video di TikTok.
Katanya, punca utama konflik rumah tangga bukan hanya disebabkan faktor kewangan atau kerjaya, tetapi kurangnya ketakwaan kepada Allah SWT serta kegagalan memahami tanggungjawab masing-masing sebagai suami dan isteri.
Suami dan isteri perlu sentiasa belajar memahami peranan masing-masing agar tidak timbul perasaan rendah diri, ego atau hilang rasa hormat dalam rumah tangga.
Sementara itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, sekufu bermaksud kesepadanan antara lelaki dan perempuan dalam beberapa aspek tertentu bagi menjamin keharmonian rumah tangga.
Antara aspek yang dibincangkan ulama ialah agama dan keimanan, pekerjaan, latar kehidupan serta keadaan yang boleh memberi kesan besar kepada kehidupan berumahtangga.
Bagaimanapun, sekufu bukanlah syarat sah pernikahan. Sebaliknya, salah satu usaha mengelakkan mudarat dan membantu pasangan membina keserasian selepas berkahwin.
Rumah tangga mudah bergolak bila isteri lebih berjaya?
Ramai beranggapan rumah tangga lebih sering bergolak apabila isteri lebih berjaya daripada suami.
Sedangkan, faktor paling utama membina rumah tangga bahagia adalah keimanan, toleransi, kasih sayang serta kefahaman antara pasangan.
Ini bermakna, situasi isteri lebih berjaya atau lebih menyerlah daripada suami bukanlah masalah utama jika kedua-duanya memahami peranan masing-masing serta saling menghormati antara satu sama lain.
Lebih membimbangkan apabila ego, rasa rendah diri dan kegagalan mengurus emosi mula menguasai hubungan sehingga perbezaan itu dijadikan punca pergaduhan yang berpanjangan.
Akhirnya, konsep sekufu dalam perkahwinan bukan bertujuan membezakan darjat manusia, sebaliknya menjadi panduan untuk membantu pasangan membina hubungan yang lebih stabil, matang dan harmoni dalam jangka panjang.-Muslimah