Pemakaian tudung bukan sekadar mengikuti trend semasa, sebaliknya perlu memenuhi tuntutan menutup aurat seperti yang ditetapkan dalam Islam.
Namun, masih ramai wanita hari ini terpengaruh dengan gaya hijab popular di media sosial tanpa menyedari ada antaranya tidak menepati syariat.
Pendakwah bebas, Ain Haffa berkongsi di dalam media sosialnya mengenai wanita Islam perlu lebih berhati-hati dalam memilih gaya pemakaian agar tidak terlalu mengejar fesyen sehingga mengabaikan tujuan utama berhijab.
Menurutnya, terdapat beberapa gaya tudung yang kini menjadi trend, tetapi masih tidak menutup aurat dengan sempurna apabila dipakai di luar rumah.
- Turban hingga nampak leher
Antara gaya yang mendapat perhatian ialah pemakaian turban yang menampakkan bahagian telinga dan leher.
Walaupun gaya tersebut dilihat moden dan kemas, ia tetap tidak menepati syariat kerana bahagian leher wanita wajib ditutup.
“Jika tudung dipakai sehingga menampakkan leher apatah lagi telinga, ia tidak memenuhi konsep menutup aurat yang sebenar,” katanya.
- Anak tudung dipakai sebagai tudung luar
Selain itu, trend memakai anak tudung sahaja ketika berada di luar rumah juga semakin popular.
Menurutnya, fabrik anak tudung yang ketat akan menampakkan bentuk leher dan telinga dengan lebih jelas, sekali gus tidak sesuai dijadikan penutup aurat utama.
“Inner tudung tempat dia di dalam tudung, bukan dipakai sebagai tudung utama di luar,” katanya.
- Trend sanggul palsu yang berlebihan
Penggunaan sanggul palsu atau scrunchies besar yang membentuk sanggul lebih menonjol juga tidak dibolehkan.
Katanya, walaupun wanita berambut panjang atau tebal, sanggul sepatutnya direndahkan dan tidak terlalu ketara sehingga menarik perhatian.
Beliau menasihatkan agar penggunaan sanggul palsu semata-mata untuk mencantikkan bentuk tudung dielakkan.
- Tudung nipis dan jarang
Pemakaian tudung yang nipis atau jarang sehingga menampakkan bahagian kepala dan leher juga dianggap tidak sesuai dipakai di luar rumah.
Beliau menyarankan penggunaan lapisan tambahan seperti inner neck serta memilih material yang tidak jarang seperti material seperti kapas dan sifon yang lebih tebal.
Penggunaan selendang tanpa anak tudung yang sesuai boleh menyebabkan aurat masih terlihat walaupun seseorang itu bertudung.
- Gaya menyerupai agama lain
Gaya tudung yang menyerupai pemakaian wanita bukan Islam juga perlu dielakkan, termasuk pemakaian yang terlalu ketat di bahagian leher.
Katanya, Muslimah perlu menjaga identiti pemakaian agar tidak menyerupai simbol atau gaya yang melambangkan agama lain.