Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) kini bukan lagi istilah asing dalam kalangan wanita di negara ini.
Namun, ramai yang masih keliru dan menganggap masalah ini sekadar gangguan kitaran haid biasa, sedangkan ia merupakan gangguan hormon kompleks yang boleh menjejaskan kualiti hidup dan kesuburan.
Menurut perkongsian daripada portal MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PCOS adalah keadaan yang melibatkan ketidakseimbangan hormon di mana ovari menghasilkan lebihan hormon androgen (hormon lelaki).
Keadaan ini menghalang telur daripada matang dan dilepaskan seterusnya membentuk kantung kecil berisi cecair (folikel) yang menyerupai sista pada ovari.
Bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang, wanita perlu peka terhadap ciri-ciri utama PCOS seperti berikut:
Kitaran haid tidak teratur
Pesakit mungkin mengalami haid yang sangat jarang (kurang lapan kali setahun), kitaran yang terlalu panjang atau dalam sesetengah kes, tiada haid langsung dalam tempoh berbulan-bulan.
Pertumbuhan bulu berlebihan (Hirsutisme)
Akibat tahap hormon androgen yang tinggi, wanita akan mengalami pertumbuhan bulu yang lebat di kawasan yang tidak sepatutnya bagi seorang wanita seperti di dagu, atas bibir (misai), dada, perut dan belakang badan.
Masalah kulit dan keguguran rambut
PCOS sering dikaitkan dengan masalah jerawat yang kronik dan kulit yang sangat berminyak. Selain itu, pesakit mungkin mengalami penipisan rambut pada bahagian kepala (seperti corak kebotakan lelaki) serta tompokan kulit gelap dan tebal (acanthosis nigricans) di sekitar leher, ketiak atau celah paha.
Kesukaran menurunkan berat badan
Kira-kira 80 peratus wanita dengan PCOS mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Hal ini disebabkan oleh rintangan insulin, di mana badan sukar memproses gula menjadi tenaga sekali gus menyebabkan lemak terkumpul terutamanya di bahagian perut.
Masalah kesuburan
PCOS adalah antara punca utama kemandulan dalam kalangan wanita. Kegagalan proses ovulasi (pelepasan telur) secara tetap menyukarkan proses persenyawaan berlaku bagi pasangan yang merancang untuk menimang cahaya mata.
Diagnosis PCOS biasanya dilakukan sekiranya seseorang wanita mempunyai sekurang-kurangnya dua daripada tiga kriteria utama iaitu haid tidak teratur, tahap androgen tinggi (melalui ujian darah atau fizikal) dan imej ovari polisistik melalui imbasan ultrabunyi.
Pengurusan awal melalui perubahan gaya hidup, pemakanan seimbang dan rawatan hormon mampu membantu mengawal simptom serta mengurangkan risiko penyakit kencing manis dan sakit jantung di masa hadapan.-Muslimah