Fakta mengenai pil perancang yang wanita wajib tahu

Pengambilan pil perancang sememangnya sinonim dalam kalangan wanita yang mahu merancang keluarga.

Namun, sering juga timbul pelbagai mitos yang boleh membuatkan mereka berasa takut untuk mencuba. Namun, sejauh manakah kebenaran di sebalik kata-kata orang lama ini?

Pegawai perubatan, Dr. Bella Hassle, menerusi perkongsian di laman sosialnya baru-baru ini tampil menyangkal beberapa mitos popular yang sering menghantui kaum wanita sehingga ada yang sanggup mengabaikan kesihatan reproduktif mereka.

Pil perancang bukan punca mandul

Beliau menjelaskan pil perancang tidak menyebabkan kemandulan. Tugas utama pil tersebut hanyalah menghalang proses ovulasi (pengeluaran telur) buat sementara waktu sepanjang anda mengambilnya.

“Sebaik sahaja anda berhenti mengambil pil tersebut, kitaran subur akan kembali normal. 

“Malah, ada kes di mana wanita terus hamil pada bulan berikutnya selepas berhenti,” kongsinya.

Badan tidak jadi gemuk mendadak

Kajian klinikal menunjukkan tiada kaitan tetap antara pengambilan pil perancang dengan kenaikan berat badan yang ketara.

Beliau tidak menafikan sesetengah wanita mungkin berasa sedikit kembung atau selera makan bertambah pada peringkat awal kerana perubahan hormon, namun biasanya bersifat sementara. 

“Faktor utama berat badan tetap berbalik kepada gaya hidup dan diet harian anda,” tambahnya.

Jangan berhenti tanpa nasihat pakar perubatan

Ada yang beranggapan badan perlu ‘berehat’ daripada hormon pil agar rahim dapat dicuci. Fakta sebenarnya, badan anda tidak perlu dicuci daripada hormon tersebut.

Jelasnya, tindakan ‘berehat’ atau berhenti sesuka hati tanpa nasihat doktor sebenarnya lebih membawa mudarat. 

“Hal ini bukan sahaja mengganggu keberkesanan perancang tersebut, malah boleh menyebabkan kitaran haid menjadi tidak menentu atau berlaku pendarahan. 

“Ini sudah tentu akan menimbulkan kekeliruan, terutamanya bagi Muslimah dalam menentukan waktu solat atau puasa,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan agar pengambilan pil perancang dilakukan secara konsisten pada waktu yang sama setiap hari mengikut nasihat doktor bagi memastikan perlindungan yang optimum.-Muslimah