Perjuangan hijrah seorang pramugari

Segan tampil terbuka dalam uniform kerja, pramugari ini bersyukur apabila kini diberi peluang bertugas dalam keadaan berhijab selepas bertahun-tahun menyimpan hasrat tersebut.

Selepas hampir 12 tahun berkhidmat sebagai pramugari AirAsia, Nurfarahshazreen Mohamad Mustaffa atau lebih mesra dipanggil Farah tidak pernah berhenti berdoa untuk berhijrah dan menutup aurat.

Di sebalik kehidupan yang dilihat glamor, Farah mengakui dia sering resah, terutama apabila memikirkan pandangan anak kecilnya, Laura Carissa Muhammad Afiq,4.

“Kadang-kadang rasa segan bila fikir anak tengok saya berpakaian macam itu. Walaupun dia masih kecil, tetapi lama-kelamaan dia akan faham nanti,” katanya kepada Muslimah.

Perasaan untuk berhijab semakin kuat selepas pandemik Covid -19, apabila Farah mula bermuhasabah dan mempersoalkan semula arah hidupnya sebagai seorang Muslimah.

Namun, keinginan untuk berhijab bukan mudah direalisasikan apabila uniform kerja tidak membenarkan pemakaian tudung.

“Saya hampir pernah terfikir untuk berhenti kerja,” katanya.

Perubahan Farah turut memberi inspirasi kepada rakan-rakan sekerja, ramai yang mula bertanya dan menunjukkan minat untuk turut berhijab ketika bertugas.

Begitupun, Farah memilih bertahan sambil terus berdoa agar diberikan jalan berbekalkan sokongan suami tersayang. 

Doa itu akhirnya dimakbulkan apabila syarikatnya memberi kelonggaran kepada kru wanita untuk memakai tudung ketika bertugas, bermula tahun ini.

“Bila saya dapat emel itu, saya rasa sangat bersyukur seperti Allah menjawab doa saya,” katanya.

Tanpa berlengah, Farah menjadi antara yang terawal memohon untuk berhijab ketika bertugas.

Belajar paksa diri untuk berubah

Sebelum peluang itu tiba, Farah sebenarnya sudah mula bersedia lebih awal.

Di luar waktu kerja, dia membiasakan diri memakai tudung. Malah, wanita ini juga kerap memohon penerbangan ke Jeddah dan Madinah untuk membiasakan diri dengan imej berhijab.

Di tanah suci, Farah banyak berdoa agar diberikan kekuatan untuk istiqamah.

Pengalaman itu memberi kesan mendalam sehingga dia mula berasa tidak selesa membuka tudung walaupun di luar waktu kerja.

“Saya paksa diri pada awalnya. Kalau tunggu rasa bersedia, mungkin sampai bila-bila takkan berubah,” katanya.

Farah mengakui, suatu ketika dahulu dia merasakan dirinya lebih cantik tanpa tudung.

Namun selepas berkahwin dan mempunyai anak, pandangannya mula berubah.

Baginya, kehidupan dunia hanyalah sementara dan setiap pilihan perlu membawa dirinya lebih dekat kepada Allah.

Sokongan suami jadi kekuatan

Dalam proses perubahan ini, suaminya, Muhammad Afiq Mohd. Noor menjadi individu paling banyak memberi sokongan.

Setiap kali Farah tampil berhijab, suami tidak lokek dengan pujian dan kata-kata semangat.

Sokongan itu membantu membina keyakinannya, terutama ketika berdepan dengan persekitaran yang masih belum berubah.

Selain itu, seorang rakan lama turut menjadi inspirasi dalam perjalanan memahami makna sebenar berhijab.

Namun bagi Farah, perubahan ini juga banyak dipengaruhi oleh peranannya sebagai seorang ibu.

“Saya tidak mahu anak saya membesar tanpa contoh yang baik,” katanya.

Dia mahu anaknya memahami kepentingan menjaga aurat sejak kecil agar tidak melalui kekeliruan yang sama seperti dirinya dahulu.

Perubahan selepas berhijab

Selepas mula berhijab, Farah merasai perubahan ketara dalam kehidupan seharian.

Jika dahulu bersalaman dengan kru lelaki adalah perkara biasa, kini situasi itu berubah secara perlahan.

Malah, ada kru lelaki yang kelihatan serba salah untuk bersalaman dengannya.

Daripada situ, Farah menjadi lebih peka tentang batas pergaulan dan berusaha menjaga diri dengan lebih baik.

Layanan yang diterima juga berubah menjadi lebih sopan dan menghormati dirinya sebagai seorang wanita.

Jika berlaku sentuhan tidak sengaja, rakan sekerja lelaki akan segera meminta maaf. Interaksi dengan penumpang juga sudah berbeza.

Ramai penumpang kini memulakan sapaan dengan ‘Assalamualaikum’, membuatkan Farah rasa identitinya sebagai Muslimah lebih dihargai.

Jadi inspirasi

Perubahan Farah turut memberi inspirasi kepada rakan-rakan sekerja, ramai yang mula bertanya dan menunjukkan minat untuk turut berhijab ketika bertugas.

Walaupun terdapat syarat tertentu daripada syarikat, keterbukaan itu sudah cukup menandakan perubahan positif dalam persekitaran.

“Kalau kita asyik tunggu masa sesuai, memang tidak akan mula,” katanya. 

Farah berharap lebih ramai wanita berhijab berani menceburi bidang penerbangan tanpa rasa rendah diri. 

Menurutnya, kerjaya pramugari tetap sumber rezeki halal dan membuka peluang luas untuk berkembang serta melihat dunia daripada perspektif berbeza.

Perjalanan daripada uniform skirt ke tudung bukan sekadar perubahan luaran. Ia bukti doa, usaha dan kesabaran mampu membawa seseorang ke arah yang lebih baik. 

“Hidayah itu mahal, tetapi bila kita usaha  Allah akan bagi jalan,” katanya mengakhiri bicara.-Muslimah