Tidak semua ketenangan datang daripada rasa syukur dan reda kepada Allah.
Ada kalanya, rasa terlalu selesa dengan kehidupan membuatkan seseorang berhenti bermuhasabah, tidak lagi merasa ingin berubah dan akhirnya hanyut dalam kelalaian tanpa disedari.
Penceramah bebas, Ustazah Najihah berkata, keadaan itu sering berlaku apabila seseorang terlalu lama berada dalam comfort zone sehingga hati mula terbiasa dengan rutin dan keadaan semasa.
Menurut beliau, apabila manusia terlalu selesa dengan kehidupan, mereka perlahan-lahan akan hilang rasa ingin berubah dan tidak lagi sensitif terhadap kelemahan diri sendiri.
“Apabila sesuatu perkara sudah menjadi kebiasaan, manusia akan hilang sensitiviti hati,” katanya menerusi program Tadabbur Sister.
Seseorang yang terlalu biasa melakukan dosa akhirnya tidak lagi merasa bersalah atau gelisah terhadap perbuatannya.
Keadaan itu menyebabkan hati menjadi semakin kebal sehingga iman tidak lagi berfungsi sebagai panduan yang menggerakkan seseorang ke arah kebaikan.
“Ramai sebenarnya sukar membezakan sama ada rasa “cukup” yang dirasai datang daripada reda Allah atau sekadar helah syaitan untuk membuatkan manusia terus berada di tahap yang sama tanpa perubahan,” katany.
Syaitan tidak semestinya mengajak kepada dosa besar
Menurut Ustazah Najihah, antara helah paling halus syaitan ialah membuat manusia leka dengan perkara yang sia-sia dan membuang masa.
Katanya, jika syaitan gagal menjerumuskan seseorang kepada dosa besar, mereka masih mempunyai cara lain untuk melemahkan manusia iaitu dengan melalaikan mereka daripada tujuan hidup sebenar.
“Kadangkala seseorang tidak melakukan dosa besar, tetapi masa dihabiskan dengan perkara tidak bermanfaat sehingga hidup berlalu begitu sahaja,” katanya.
Beliau menjelaskan, syaitan sangat licik kerana manusia sering tidak sedar berapa banyak masa dihabiskan hanya untuk perkara yang tidak memberi manfaat kepada diri dan akhirat.
Tambahnya syaitan hanya menggoda, namun manusialah yang akhirnya membuat pilihan sendiri terhadap jalan hidup mereka.
Rasa cukup datang daripada Allah
Dalam masa sama, beliau menjelaskan rasa cukup yang benar-benar datang daripada Allah akan hadir bersama keberkatan atau barakah dalam hidup.
Menurutnya, antara tanda kehidupan yang mempunyai barakah ialah urusan dipermudahkan, hati terasa tenang dan seseorang masih mampu merasai kemanisan hidup walaupun sedang diuji.
“Ada manusia yang apabila Allah menambahkan iman dalam dirinya, dia menjadi semakin takut kepada Allah, tetapi dalam masa sama ujian itu terasa manis kerana dia melihatnya sebagai tanda perhatian daripada Allah,” katanya.
Ujian bukan tanda Allah membenci hamba-Nya
Menurut beliau, ramai manusia kembali mendekati Allah selepas melalui kehilangan, perpisahan, masalah kewangan atau kehancuran hidup.
Namun, setiap ujian yang diberikan Allah bukan semata-mata hukuman, sebaliknya boleh menjadi tanda kasih sayang dan perhatian Allah terhadap hamba-Nya.
Beliau turut mengingatkan perkara paling menakutkan bukanlah ujian hidup, tetapi apabila seseorang dibiarkan terus lalai tanpa teguran daripada Allah.
Jelasnya, selama mana seseorang masih merasa gelisah dengan dosa, masih ingin berubah dan tidak selesa dengan kelemahan diri sendiri, itu tanda Allah masih dekat dan sedang membentuk dirinya menjadi lebih baik.