Nina bina kerjaya di Eropah tanpa korbankan jati diri

Di pentas antarabangsa, nama Nina Aziz Justin dikenali sebagai ahli strategi pertumbuhan perniagaan, pengasas syarikat, penulis serta penceramah TEDx yang aktif membina pengaruh di Eropah.

Namun di sebalik deretan portfolio korporat dan gelaran profesional yang mengagumkan itu, tersimpan sisi seorang wanita Melayu yang cukup lembut, sederhana dan kuat berpegang pada akar jati dirinya.

Sudah menetap di lima negara berbeza iaitu Malaysia, England, Germany, Netherlands dan kini France, perjalanan hidup Nina bukan sekadar kisah kejayaan kerjaya di luar negara.

Ia adalah perjalanan seorang wanita mencari makna ‘rumah’, identiti dan kekuatan dalaman.

Melalui bukunya yang berjudul The Home Within, Nina membawa pembaca menyelami persoalan yang sangat dekat dengan jiwa iaitu tentang rasa kepunyaan dan bagaimana seseorang boleh terus mengenali dirinya walaupun berada di mana sahaja di dunia.

“Di belakang semua gelaran itu, saya hanyalah seorang manusia biasa iaitu seorang ibu, seorang isteri dan seorang kawan.

“Tetapi jika ada satu perkara asas yang memacu hidup saya, ia adalah sifat ingin tahu yang sangat mendalam. Saya sangat ingin tahu dengan keupayaan dan kekuatan tersembunyi yang ada pada diri setiap manusia,” katanya kepada Muslimah.

Membangunkan kerjaya di luar negara bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi sebagai wanita Asia dan Muslimah yang perlu menyesuaikan diri dalam budaya asing.

Bagi Nina, cabaran terbesar bukan sekadar soal bahasa atau kerjaya, tetapi terus bertahan tanpa kehilangan identiti diri sendiri.

“Masalah dengan menyesuaikan diri ini ialah, jika kita tidak mengenali diri kita yang sebenar, kita akan kehilangan identiti sendiri.

“Di luar negara, tekanan itu berganda kerana ia bukan tanah air kita. Saya sedar, demi kelangsungan hidup saya terdedah kepada risiko kehilangan identiti sebagai seorang wanita Melayu dan nilai-nilai murni yang kita tatang di Malaysia,” katanya.

Pengalaman tinggal dan bekerja di beberapa negara Eropah turut membuka matanya mengenai wanita yang sering merendahkan potensi diri sendiri demi memenuhi jangkaan masyarakat.

Sebagai figura yang aktif dalam dunia strategi perniagaan dan kepimpinan, Nina sering berdepan persepsi seorang wanita perlu bersikap keras atau agresif untuk berjaya.

Begitupun, beliau memilih tampil berbeza.

“Saya pernah dikritik kerana gaya penyampaian terlalu lembut. Tetapi bagi saya, kelembutan itu sendiri adalah kekuatan.

“Semakin kuat diri anda di dalam, sepatutnya semakin lembut pembawaan anda di luar,” katanya.

Melalui bukunya yang berjudul The Home Within, Nina membawa pembaca menyelami persoalan yang sangat dekat dengan jiwa.-Gambar ISKANDAR ISHAK

Ujian seorang ibu

Di sebalik kejayaan profesionalnya, kehidupan Nina berubah sepenuhnya apabila anak perempuannya disahkan menghidap keadaan neurologi yang sangat jarang ditemui ketika mereka menetap di Amsterdam.

Ketika itu, anak kecilnya baru berusia dua tahun setengah.

“Masa itu kami benar-benar terkejut. Bayangkan, hanya ada 21 orang sahaja di seluruh dunia yang mempunyai keadaan seperti anak saya.

“Malah doktor di sana juga tidak mempunyai jawapan untuk membantu kami. Kami yang terpaksa membantu doktor memberikan maklumat,” katanya mengimbas semula detik itu.

Berada jauh di negara asing tanpa sistem sokongan keluarga menjadikan ujian itu sangat berat.

Nina mengakui, walaupun beliau pernah membina syarikat sendiri dan mengendalikan projek-projek besar, tiada satu pun pengalaman profesional itu mampu menandingi cabaran sebagai seorang ibu.

“Kehidupan mempunyai cara tersendiri untuk mengajar kita erti rendah diri. Tidak kira siapa kita atau apa yang telah kita capai, kita tetap perlu tunduk dengan aturan-Nya,” luahnya.

Namun, ujian itu menjadikan dirinya lebih kuat dan bersemangat untuk meneruskan hari-hari mendatang sebagai wanita dan ibu yang berjaya.

Formula kehidupan yang mengubah perspektif

Sebagai penceramah TEDx di Rotterdam, Nina turut dikenali dengan konsep yang diperkenalkannya iaitu The Resilience Equation.

Formula itu menggabungkan tiga elemen utama iaitu perspektif, identiti dan tindakan.

Menurut Nina, manusia sering berasa terperangkap dalam masalah kerana terlalu fokus kepada keadaan semasa tanpa melihat gambaran yang lebih besar.

“Masa memberi perspektif. Cuba fikirkan masalah yang kita hadapi lima tahun lepas. Hari ini mungkin ia sudah tidak penting lagi kerana kita sudah melangkah jauh ke depan,” katanya.

Tambahnya, identiti adalah komponen paling penting yang membentuk perspektif dan tindakan individu.

“Jika anda mula mengambil tindakan kecil seperti membeli kasut sukan dan berlari satu kilometer, identiti anda mula berubah daripada ‘bukan pelari’ kepada seorang pelari,” katanya.

Bagi Nina, keberanian juga tidak semestinya hadir dalam bentuk langkah besar.

“Kejayaan sebenar dibina daripada konsistensi perkara-perkara kecil, bukannya perkara besar sepanjang masa,” katanya.

Memperjuangkan representasi Muslimah di Barat

Selain aktif dalam dunia korporat, Nina juga merupakan ahli lembaga pengarah Smile Foundation dan giat memperjuangkan isu representasi wanita berwarna serta Muslimah dalam media antarabangsa.

Menurutnya, ramai kanak-kanak perempuan daripada komuniti minoriti membesar tanpa melihat individu yang menyerupai diri mereka dalam ruang kepimpinan atau media arus perdana.

“Penampilan dan model peranan itu penting untuk menunjukkan kepada generasi muda apa yang mungkin untuk mereka capai.

“Anda tidak perlu menjadi orang lain untuk berjaya. Anda boleh menjadi wanita Melayu, seorang Muslimah dan pada masa yang sama menjadi individu yang berjaya,” katanya.

‘Rumah’ sebenar bukan pada tempat

Lama berkelana ke negara orang, Nina mengakui beliau sering ditanya satu soalan yang sama: “Di manakah rumah anda sebenarnya?”

Jawapannya cukup sederhana tetapi mendalam.

“Saya berasa selesa dan ‘di rumah’ di mana-mana sahaja saya berada. Mengapa? Kerana saya menyedari ‘rumah’ yang sebenar tidak bersifat fizikal seperti bangunan di Kuala Lumpur atau Paris.

“Rumah itu dibina di dalam diri kita sendiri di mana ia adalah nilai, pegangan dan jati diri kita,” katanya.

Malah, Nina masih membawa budaya Melayu ke mana sahaja beliau pergi termasuk amalan memasak dan menjemput tetamu makan di rumah walaupun budaya itu jarang dilakukan di Eropah.

“Saya bawa ‘rumah’ saya ke mana-mana sahaja saya pergi. Kita semua sebenarnya adalah sebuah rumah yang boleh dibawa ke mana-mana,” katanya penuh makna.

Mengakhiri perbualan, wanita berusia 53 tahun itu menitipkan pesanan paling jujur buat wanita yang sedang berjuang dalam kehidupan agar tidak kehilangan diri sendiri dalam proses memenuhi tuntutan dunia.

“Dunia luar akan sentiasa berubah dengan pantas iaitu penuh dengan tekanan kerja, teknologi AI dan pelbagai pergolakan.

“Jika kita tidak ‘pulang’ dan berakar umbi dengan diri sendiri, emosi dan minda kita akan sentiasa terganggu. Jaga diri kita dahulu, kerana kita tidak akan mampu menuang air daripada cawan yang kosong,” katanya menutup bicara.-Muslimah