5 doa disarankan diamalkan di Hari Arafah

Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah setiap tahun merupakan kemuncak kepada ibadah haji, namun kelebihannya tidak hanya terhad kepada jemaah yang berada di Tanah Suci. 

Bagi umat Islam di seluruh dunia, hari bertenaga ini adalah waktu paling mustajab untuk berdoa, bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Menjelang tibanya hari yang penuh barakah ini, umat Islam disaran memperbanyakkan amalan terutamanya berdoa, memandangkan terdapat peluang pengampunan dosa yang luas pada hari tersebut.

Pendakwah bebas, Ustaz Khairi Mohd Zain berkata, Hari Arafah adalah waktu di mana rahmat Allah SWT turun dengan begitu melimpah-ruah, sekali gus menjadikan setiap doa yang dipanjatkan oleh hamba-Nya sangat dekat dengan keijaban.

“Umat Islam tidak sepatutnya membiarkan hari tersebut berlalu begitu sahaja tanpa pengisian rohani yang tersusun, memandangkan hari itu merupakan ‘bonus’ tahunan yang ditawarkan oleh Allah SWT bagi menghapuskan dosa-dosa lampau,” katanya kepada Muslimah.

Beliau turut menyarankan agar umat Islam mula menyusun senarai doa yang mahu dipinta sejak malam raya lagi bagi mengelakkan diri daripada hilang fokus.

“Jangan tunggu petang Arafah baru kita terkira-kira mahu minta apa. Senaraikan siap-siap doa untuk diri sendiri, ibu bapa, anak-anak dan ummah. 

“Menjelang waktu mustajab itu, menangislah dan merintihlah sepuas-puasnya di hadapan Allah SWT kerana peluang itu belum tentu menjadi milik kita pada tahun hadapan,” katanya

Himpunan doa amalan menjelang Hari Arafah

Menjelang Hari Arafah, golongan wanita sama ada yang suci daripada hadas atau yang sedang dalam keadaan uzur (haid/nifas) juga mempunyai peluang yang sama luas untuk merebut keberkatan hari yang mulia ini.

Bagi wanita yang sedang uzur, walaupun tidak boleh bersolat atau berpuasa, ibadah doa, zikir serta istighfar tetap sangat dituntut dan tiada halangan untuk mengamalkannya.

  1. Doa memohon keampunan dosa

Hari Arafah ialah hari pembebasan daripada api neraka. Perbanyakkan istighfar dan doa ini untuk memohon keampunan yang mendalam:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku.

  1. Doa memohon perlindungan daripada fitnah dunia dan akhirat

Sebagai wanita yang mengemudi pelbagai urusan keluarga, kerjaya dan peribadi, doa memohon ketetapan iman amat penting:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.

  1. Doa kesejahteraan zuriat dan keluarga (Doa Nabi Ibrahim AS)

Hari Arafah adalah waktu terbaik bagi seorang ibu atau bakal ibu untuk mendoakan anak-anak dan keturunannya agar menjadi insan yang soleh.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Surah Ibrahim: 40)

  1. Doa memohon rahmat dan urusan yang baik (Doa Ashabul Kahfi)

Jika anda sedang berdepan dengan ujian hidup, dilema atau keputusan besar, amalkan doa ini untuk memohon jalan keluar yang terbaik daripada Allah SWT.

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan yang betul untuk kami dalam urusan kami.. (Surah Al-Kahfi: 10)

  1. Doa dijauhkan daripada sifat lemah, malas dan hutang

Wanita sering kali menggalas bebanan emosi dan fizikal yang tinggi. Doa ini membantu memberi kekuatan rohani.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kegelisahan dan kesedihan, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu dari sifat pengecut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan manusia.-Muslimah