Ramadan sepatutnya bulan penuh keberkatan, ketenangan dan pahala.
Namun, ramai Muslimah rasa hati kosong, seolah-olah puasa tidak memberi ketenangan yang diharapkan. Mengapa ini berlaku?
Dalam artikel ini, kita akan kupas punca dan cara mengembalikan kehangatan spiritual dalam bulan mulia ini.
1. Fokus hanya pada puasa fizikal, bukan spiritual
Ramai orang fokus pada menahan lapar dan dahaga, tetapi lupa Ramadan adalah bulan untuk memperbaiki hubungan dengan Allah dan diri sendiri. Puasa fizikal tanpa niat yang betul atau amalan ibadah tambahan seperti solat malam, zikir dan membaca Al-Quran, kadang-kadang membuat hati terasa kosong.
Tip:
Tetapkan niat setiap hari: “Saya puasa kerana Allah, untuk mendekatkan diri kepada-Nya.”
Jadikan waktu sahur dan berbuka sebagai masa untuk muhasabah dan doa pendek.
2. Kurang zikir dan doa harian
Hati yang kosong sering terjadi kerana kurangnya komunikasi dengan Allah. Walaupun kita puasa, jika hati jarang berdialog dengan Allah melalui zikir, doa atau tafakur, perasaan hampa boleh muncul.
Tip:
Mulakan pagi dengan doa ringkas untuk hati yang tenang.
Selepas solat fardu, luangkan lima hingga 10 minit untuk zikir dan muhasabah.
Buat senarai doa untuk setiap hari Ramadan.
3. Sibuk dengan duniawi, kurang fokus ibadah
Ramadan bukan masa untuk terlalu fokus pada kerja atau persiapan raya. Hati yang tertekan dengan duniawi mudah rasa kosong. Kalau setiap hari fikir tentang makanan, baju raya atau duit raya sahaja, pahala spiritual mungkin terasa kurang.
Tip:
Tetapkan jadual harian: Masa untuk ibadah dan masa untuk kerja.
Gunakan aplikasi atau planner untuk track ibadah harian.
Kurangkan scrolling sosial media yang tak memberi manfaat.
4. Tidak refleksi atau muhasabah diri
Ramadan adalah masa muhasabah. Hati kosong muncul bila kita tidak mengambil masa untuk nilai diri, dosa dan amal. Tanpa refleksi, ibadah boleh menjadi rutin kosong.
Tip:
Luangkan 10 hingga 15 minit sebelum tidur untuk muhasabah.
Catat dosa yang ingin diperbaiki dan target kecil untuk berubah.
Baca tafsir pendek atau nasihat ulama yang relevan.
5. Abaikan hubungan sosial dan keluarga
Hati manusia juga memerlukan kasih sayang dan hubungan yang positif. Jika Ramadan dijalani sendiri tanpa komunikasi dengan keluarga atau suami, hati terasa sunyi. Bukan hanya ibadah fizikal, interaksi yang sihat juga penting untuk kesejahteraan rohani.
Tip:
Luangkan masa berbuka bersama keluarga.
Hubungi ahli keluarga sekerap yang mungkin.
Lakukan amalan kecil bersama pasangan, contohnya berbuka bersama doa ringkas
6. Kurang bersyukur
Kadang-kadang hati kosong kerana lupa bersyukur atas nikmat yang Allah beri. Jika fokus kita hanya pada apa yang kurang, hati mudah rasa hampa.
Tip:
Setiap malam, tulis tiga perkara yang anda syukuri hari itu.
Bacalah doa syukur selepas solat fardu.
Latih diri untuk fokus pada nikmat kecil, bukan hanya besar.
7. Mengabaikan kesihatan fizikal dan mental
Hati dan tubuh saling berkait. Jika tidur tidak cukup, makan sahur tidak betul atau terlalu letih, mudah rasa kosong dan stres. Ramadan bukan alasan untuk mengabaikan kesihatan.
Tip:
Tidur cukup, sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jam.
Sahur dengan makanan seimbang (protein + karbohidrat + buah).
Ambil waktu rehat dan solat duha untuk segarkan diri.
Hati yang kosong dalam Ramadan adalah isyarat untuk perbaiki ibadah, hubungan dengan Allah dan diri sendiri.
Bermuhasabah, berdoa, zikir dan pengurusan masa yang betul akan membantu hati kembali hangat dan penuh keberkatan.-Muslimah