Rasa penat yang melampau dalam kalangan pekerja sering kali disalah ertikan sebagai akibat daripada bebanan kerja yang terlalu banyak. Bagaimanapun, punca sebenar isu tersebut berkemungkinan besar berakar umbi daripada sikap mengabaikan kebajikan diri sendiri.
Pakar psikologi, Dr. Nazrul Azizi mendedahkan terdapat corak psikologi yang membimbangkan apabila seseorang individu itu terlalu bermurah hati dan sedia berkorban demi orang lain, namun bertukar menjadi manusia paling kejam terhadap diri sendiri.
Menurut beliau, golongan ini sangat mudah memaafkan orang lain tetapi sekiranya mereka sendiri melakukan kesilapan kecil, mereka cenderung menghukum diri secara keterlaluan sehingga sanggup mengenepikan kepenatan fizikal serta memendam emosi.
“Lama-kelamaan, hati menjadi letih tanpa disedari. Menyayangi diri sendiri bukan bermaksud mementingkan diri.
“Sebaliknya, itu adalah cara melayan diri dengan belas ihsan, sama seperti mana kita melayan orang yang kita sayangi. Kadang-kadang, anda juga layak menerima kasih sayang daripada diri sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di laman Threads miliknya, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa tanggapan segelintir masyarakat yang mengaitkan menyayangi diri dengan sifat ‘syok sendiri’ atau keyakinan diri yang berlebihan adalah kurang tepat.
Tegas beliau, konsep menyayangi diri sendiri yang sebenar adalah lebih dekat dengan penerimaan diri secara total tanpa syarat.
“Anda tidak perlu menjadi sempurna untuk menghargai diri sendiri. Anda boleh dan berhak untuk masih mempunyai kelemahan, melakukan kesilapan dan masih dalam proses belajar. Namun pada masa yang sama, anda tetap berhak dihormati,” jelas beliau.
Menyentuh mengenai kajian psikologi, beliau menyatakan individu yang mempunyai tahap belas ihsan diri yang tinggi didapati lebih kental dan tahan dalam menghadapi tekanan, kegagalan serta cabaran hidup.
Sifat ini jauh berbeza dengan mereka yang sentiasa mengkritik diri sendiri tanpa henti.
“Ironinya, semakin keras kita menghukum diri, semakin sukar untuk kita berkembang. Kadang-kadang, apa yang kita perlukan bukanlah motivasi yang lebih kuat tetapi suara dalaman yang lebih lembut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan masyarakat agar belajar untuk mengakui had kemampuan diri sendiri bagi mengelakkan tekanan mental yang lebih parah.
Jelasnya, tindakan meluahkan rasa penat, memerlukan rehat mahupun mengaku tidak mampu berbuat semua perkara, tidak sesekali menjadikan seseorang itu lemah.
“Ramai orang menghabiskan hidup cuba menjadi ‘cukup’ untuk semua orang tetapi terlupa menjadi cukup untuk diri sendiri.
“Jika hari ini anda sedang melalui fasa yang sukar, ingat satu perkara bahawa anda tidak perlu membenci diri sendiri untuk menjadi versi yang lebih baik.
“Anda boleh berkembang, belajar dan berubah tanpa perlu berperang dengan diri sendiri setiap hari,” tambah beliau.-Muslimah