Hukum gugurkan kandungan cacat dalam Islam

Isu pengguguran kandungan kembali menjadi perhatian selepas tular di media sosial mengenai wanita yang mempertimbangkan untuk menggugurkan kandungan kerana janin mengalami kecacatan serius.

Perkara itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat, terutama mengenai hukum pengguguran dalam Islam dan kedudukannya di sisi undang-undang Malaysia.

Ramai beranggapan pengguguran kandungan haram secara mutlak dan tidak dibenarkan dalam apa juga keadaan. Namun hakikatnya, Islam dan undang-undang Malaysia mempunyai garis panduan tertentu khususnya apabila melibatkan faktor perubatan dan keselamatan ibu.

Menurut penjelasan yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, hukum pengguguran kandungan bergantung kepada usia kandungan tersebut.

Selepas kandungan mencapai 120 hari atau empat bulan, pengguguran adalah haram kerana pada ketika itu janin dianggap telah ditiupkan roh. Pengecualian hanya diberikan jika kehamilan tersebut benar-benar mengancam nyawa ibu.

Namun, sebelum tempoh 120 hari, pengguguran boleh dipertimbangkan dalam keadaan tertentu, termasuk apabila janin disahkan mengalami kecacatan serius atau penyakit yang boleh membahayakan ibu.

Keputusan tersebut juga perlu dibuat berdasarkan penilaian dan nasihat pakar perubatan yang berautoriti, bukannya atas andaian atau kebimbangan semata-mata.

Fatwa turut menegaskan pengguguran kandungan tidak boleh dilakukan sesuka hati. Ia hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu yang melibatkan risiko besar terhadap ibu atau janin.

Bagaimanapun, turut menjelaskanpengguguran kandungan atas faktor kecacatan janin perlu dinilai berdasarkan keadaan setiap kes dan tidak boleh diputuskan secara umum.

Berdasarkan keputusan-keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, pertimbangan mengenai pengguguran kandungan melibatkan faktor seperti usia kandungan, tahap kecacatan janin dan penilaian pakar perubatan.

Justeru, keputusan untuk menggugurkan kandungan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa atau hanya berdasarkan kebimbangan semata-mata tanpa pertimbangan hukum syarak dan nasihat perubatan yang sewajarnya. –Muslimah