Gaji isteri rendah, terus tak sekufu?

Dalam dunia yang semakin mencabar dari sudut ekonomi, tidak dinafikan ramai pasangan perlu bekerja untuk membantu kewangan keluarga.

Namun, apabila nilai seorang isteri mula diukur berdasarkan jumlah pendapatan yang dimiliki, timbul persoalan sama ada masyarakat hari ini semakin salah memahami makna sekufu dalam sebuah perkahwinan.

Perbincangan itu tercetus selepas seorang lelaki di Threads mempersoalkan sama ada dia perlu mencari pasangan lain kerana isterinya masih bergaji RM1,800 walaupun pendapatannya meningkat berkali ganda.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian Pakar Motivasi, Amin Idris yang menegur cara fikir segelintir suami yang menjadikan pendapatan isteri sebagai ukuran utama keserasian pasangan.

“Ramai sebenarnya tersalah faham tentang konsep sekufu apabila mengaitkannya dengan kedudukan kewangan atau jumlah pendapatan,” katanya.

Justeru, menganggap seseorang isteri tidak lagi sekufu hanya kerana mempunyai pendapatan yang lebih rendah merupakan satu pemahaman yang terlalu sempit terhadap konsep tersebut.

Dalam Islam, kewajipan menyediakan nafkah asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan harian terletak di bahu suami mengikut kemampuan yang dimiliki.

“Ini bermakna pendapatan seorang isteri adalah hak miliknya sendiri dan tidak menjadi kewajipan untuk digunakan bagi menanggung keluarga,” katanya.

Jika seorang isteri memilih untuk membantu kewangan rumah tangga, ia dilakukan atas dasar kerelaan dan ihsan, bukan kerana tuntutan syarak.

“Haram buat suami mengambil gaji isteri, kecuali isteri sendiri yang mmeberi keizinan dan kerelaan untuk membantu suami,” katanya.

Sumbangan isteri tidak dapat diukur dengan duit

Ramai netizen juga mengingatkan tidak semua sumbangan dalam rumah tangga diukur dengan wang ringgit

Menjadi teman ketika susah, menjaga pasangan ketika sakit, mengurus emosi keluarga, membesarkan anak-anak dan memastikan rumah tangga terus berjalan dengan baik juga merupakan satu bentuk pengorbanan yang besar.

Walaupun tidak menghasilkan pendapatan bulanan, sumbangan tersebut tetap mempunyai nilai yang tidak ternilai dalam sesebuah perkahwinan.

Bagi sesetengah wanita, mereka mungkin tidak mampu menyumbang ribuan ringgit kepada keluarga setiap bulan, namun mereka memberikan masa, tenaga dan kasih sayang yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan rumah tangga.

Salah faham tentang konsep kafaah

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, beliau berkata ramai yang perlu memahami semula maksud sebenar kafaah atau sekufu dalam perkahwinan.

“Suami perlu faham semula dan belajar maksud kafa’ah, kerana ia bukan hanya dinilai dari nilai gaji semata-mata,” luahnya.

Pandangan itu selari dengan kajian yang diterbitkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menjelaskan  konsep kafaah merangkumi pelbagai aspek termasuk agama, akhlak, latar belakang sosial, pendidikan, kematangan serta kemampuan menjalani kehidupan berumah tangga dengan baik.

Kajian tersebut turut mendapati  persamaan nilai hidup, komunikasi yang baik dan kefahaman antara pasangan memainkan peranan yang lebih besar dalam mewujudkan rumah tangga yang sejahtera berbanding perbandingan pendapatan semata-mata.

Justeru, menganggap seseorang tidak lagi sekufu hanya kerana memperoleh gaji yang lebih rendah merupakan pemahaman yang menyimpang daripada maksud sebenar konsep kafaah dalam Islam.-Muslimah