Punca tubuh cepat penat

Wanita moden hari ini sering kali terperangkap dalam kepompong kelesuan yang ‘misteri’. 

Meskipun jam dinding baru sahaja menginjak ke angka 10 pagi dan rutin yang dilakukan hanyalah sekadar menatap skrin komputer di pejabat berhawa dingin, tubuh sudah mula memberi isyarat lemah, letih dan lesu.

Rasa penat yang melampau sering kali dianggap remeh dan dilabel sebagai ‘malas’. 

Bagaimanapun, bagi golongan wanita, keletihan yang berpanjangan ini bukanlah sesuatu yang sengaja dibuat-buat. Ada sains dan faktor biologi yang tersendiri mengapa tubuh wanita lebih mudah kehabisan tenaga berbanding lelaki.

Beban mental berlebihan

Satu perkara yang jarang dibahas secara klinikal tetapi diakui oleh pakar psikologi ialah isu beban mental. Walaupun seorang wanita tidak melakukan kerja fizikal yang berat, otaknya sering kali berputar tanpa henti merancang jadual keluarga, memikirkan menu masakan, tugasan pejabat, sehinggalah hal-hal sekecil pengurusan rumah tangga.

Beberapa kajian menunjukkan wanita cenderung mengalami tahap tekanan kronik yang lebih tinggi berbanding lelaki akibat peranan pelbagai. Tekanan emosi dan mental ini mengaktifkan hormon kortisol secara berlebihan, yang lama-kelamaan ‘membakar’ tenaga fizikal seolah-olah mereka sedang melakukan buruh kasar.

Perubahan hormon wanita

Tubuh wanita dikawal selia oleh tarian hormon yang sangat kompleks. Fasa kitaran haid setiap bulan  menyaksikan turun naik hormon estrogen dan progesteron secara mendadak.

Menurut kajian yang diterbitkan oleh Johns Hopkins Medicine, penurunan mendadak hormon estrogen sebelum tempoh haid (fasa pramenstruasi atau PMS) dan ketika fasa perimenopause boleh mengganggu tahap tenaga serta kualiti tidur wanita. 

Perubahan ini juga menjejaskan tahap serotonin (hormon gembira), sekali gus membuatkan tubuh berasa longlai dan emosi tidak menentu.

Isu anemia dan kekurangan zat besi

Selain itu, masalah anemia atau kekurangan sel darah merah. Wanita dalam usia reproduktif kehilangan darah setiap bulan melalui haid, menyebabkan risiko tinggi kekurangan zat besi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 30 peratus wanita dalam usia subur di seluruh dunia mengalami anemia. Zat besi diperlukan untuk menghasilkan hemoglobin, sebatian yang membawa oksigen ke seluruh badan. Apabila oksigen tidak mencukupi, organ tubuh terpaksa bekerja dua kali ganda, lalu mencetuskan keletihan kronik.

Gangguan kelenjar tiroid

Sekiranya anda sudah cukup tidur dan menjaga makan tetapi masih penat, puncanya mungkin terletak pada kelenjar tiroid. Kelenjar berbentuk rama-rama ini berfungsi mengawal metabolisme badan.

Wanita 8 kali lebih berisiko mengalami masalah tiroid berbanding lelaki. Penyakit Hipotiroidisme (kurang hormon tiroid) memperlahankan seluruh sistem badan, menyebabkan penderitanya rasa sangat letih, berat badan naik mendadak dan sensitif pada suhu sejuk.-Muslimah