Ramai manusia hari ini hidup dalam keadaan serba cukup, memiliki pekerjaan, keluarga dan rutin harian yang baik. Namun masih bergelut dengan perasaan kosong, tidak tenang serta seolah-olah jauh daripada Allah.
Ada juga yang sudah menjaga solat, menghadiri majlis ilmu dan melakukan amal ibadah seperti biasa, tetapi hati masih terasa gelisah dan sukar merasai ketenangan dalam hidup.
Penceramah bebas, Ustazah Najihah berkata, keadaan tersebut sering berlaku apabila seseorang terlalu menjadikan dunia sebagai fokus utama kehidupan sehingga akhirat tidak lagi menjadi keutamaan.
Menurutnya, ramai terlalu sibuk mengejar dunia sedangkan dunia sepatutnya hanya menjadi bekalan menuju akhirat, bukan tujuan utama kehidupan.
“Perubahan cara fikir perlu dilakukan dengan menukar perspektif hidup daripada menjadikan dunia sebagai fokus utama kepada menjadikan akhirat sebagai matlamat,” katanya ketika program Tadabbur Sister yang berlangsung di Surau Hartamas baru-baru ini.
Beliau turut mengaitkan keadaan itu dengan firman Allah SWT dalam Surah At-Takathur ayat 4 hingga 5 yang memberi peringatan tentang kelalaian manusia terhadap akhirat kerana terlalu sibuk mengejar dunia.
“Sekali lagi, jangan! Kelak kamu akan mengetahui akibat perbuatan itu. Kemudian sekali lagi, jangan! Kelak kamu akan mengetahui.” (Surah At-Takathur: 4-5)
Hati yang tidak tenang dan tidak dipelihara dengan panduan wahyu akan mudah dikuasai hawa nafsu sehingga seseorang gagal merasai kedekatan dengan Allah.
Namun, perasaan jauh daripada Allah bukan semestinya tanda Allah menjauhi hambaNya.
Tambahnya, ramai beranggapan dosa menyebabkan Allah menjauh daripada manusia, sedangkan Allah sentiasa dekat dengan hamba yang berada dalam keadaan paling lemah, paling hancur dan paling memerlukan.
Ustazah Najihah turut mengingatkan para nabi juga pernah melalui saat sukar dalam kehidupan mereka.
“Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berada pada titik paling berat dalam hidup baginda seperti peristiwa di Taif ketika dihina dan disakiti, serta peperangan Uhud apabila baginda kehilangan bapa saudaranya, Hamzah,” katanya.
Selain itu, beliau turut berkongsi kisah Nabi Ayub AS yang diuji dengan penderitaan berat termasuk sakit berpanjangan serta kehilangan ahli keluarga, namun baginda tetap tidak putus pergantungan kepada Allah.
Nabi Ayub AS tidak terlalu fokus kepada kesakitan yang dialami, sebaliknya lebih mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah dalam doanya.
Kesimpulannya, ketenangan sebenar tidak datang daripada kesempurnaan hidup dunia, tetapi apabila hati kembali bergantung sepenuhnya kepada Allah.-Muslimah