Kepercayaan seorang isteri terhadap suaminya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia disahkan positif HIV selepas hadir ke hospital susulan keguguran anak sulung yang dikandungnya.
Menerusi satu perkongsian tular di Threads, wanita berkenaan mendedahkan dia pada awalnya hanya datang untuk menjalani prosedur mencuci rahim tanpa menyangka bakal menerima berita yang mengubah seluruh hidupnya.
Menurut wanita itu, doktor terpaksa mengulangi ujian HIV beberapa kali selepas mendapati terdapat keputusan yang mencurigakan, namun semua ujian menunjukkan keputusan yang sama.
“Doktor ulang tiga kali ujian, tetapi keputusan tetap sama. Saya terus terfikir bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan saya tidak pernah berlaku curang,” luahnya dalam perkongsian tersebut.
Lebih mengejutkan, wanita itu mendakwa akhirnya mengetahui suaminya berlaku curang dan mempunyai hubungan dengan beberapa wanita lain sepanjang tempoh perkahwinan mereka.
Dia langsung tidak menyangka dirinya dijangkiti penyakit tersebut kerana sepanjang perkahwinan, dia setia kepada suami dan berusaha menjaga rumah tangga sebaik mungkin.
Namun, kecurangan suami yang didakwa gemar menjalinkan hubungan dengan wanita lain akhirnya membawa kesan besar apabila bukan sahaja rumah tangga mereka musnah, malah kesihatannya turut terjejas.
Lebih menyedihkan, wanita tersebut bukan sahaja kehilangan anak sulung yang dikandung, malah terpaksa menerima hakikat dirinya turut dijangkiti HIV.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib wanita tersebut serta mengecam tindakan suami yang dianggap tidak bertanggungjawab.
Ramai netizen meluahkan rasa marah kerana perbuatan curang bukan sahaja melibatkan emosi, tetapi juga mengancam kesihatan pasangan jika dilakukan tanpa rasa tanggungjawab.
Perkongsian tersebut turut membuka perbincangan mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala dalam kalangan pasangan suami isteri.
Segelintir pengguna media sosial turut berkongsi HIV kadangkala tidak menunjukkan simptom yang jelas pada peringkat awal dan hanya disedari selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital.-Muslimah