Ramai wanita terutama yang bertubuh besar sering berdepan dilema ketika memilih pakaian kerana mahu tampil selesa, bergaya dan pada masa sama lebih yakin dengan diri sendiri.
Namun tanpa disedari, ada beberapa pilihan fesyen yang sebenarnya boleh membuatkan tubuh kelihatan lebih besar atau tidak seimbang walaupun pakaian yang dipakai mahal dan mengikut trend semasa.
Fesyen untuk si ‘chubby’ bukan tentang menyembunyikan bentuk badan, tetapi mampu memilih gaya yang memberi ilusi tubuh lebih kemas, tinggi dan seimbang.
Berikut lima perkara yang boleh dilakukan untuk membantu penampilan kelihatan lebih langsing dan elegan.
- Pilih pakaian mengikut bentuk badan, bukan terlalu longgar
Kesilapan paling biasa ialah memakai pakaian terlalu besar (oversized) kerana menyangka dapat menyembunyikan bentuk tubuh.
Sebenarnya, pakaian yang terlalu longgar boleh membuatkan badan kelihatan lebih besar dan ‘tenggelam’. Pilih potongan yang mempunyai struktur kemas dan jatuh cantik pada badan tanpa terlalu ketat.
Antara potongan yang sering membantu menghasilkan siluet lebih seimbang ialah wrap dress, gaun potongan A-line serta blazer yang terletak elok di bahagian bahu.
- Tonjolkan bahagian pinggang
Ramai wanita takut menyerlahkan bentuk badan, sedangkan menonjolkan bahagian pinggang sebenarnya mampu memberi ilusi tubuh lebih seimbang.
Penggunaan tali pinggang kecil atau pakaian yang mempunyai potongan di bahagian pinggang boleh membantu membentuk siluet lebih ramping.
Selain itu, baju luar (outerwear) panjang dan rekaan dengan garisan menegak juga membantu memberi efek tubuh kelihatan lebih tinggi dan langsing.
- Pilih fabrik yang lembut dan beralun
Pemilihan fabrik memainkan peranan besar dalam keseluruhan penampilan.
Fabrik yang terlalu tebal dan keras boleh membuatkan tubuh nampak lebih ‘berat’, manakala kain terlalu nipis pula mudah melekap pada badan.
Sebaliknya, pilih material yang lembut dan jatuh cantik seperti krep, kapas campuran atau satin matte kerana membantu menghasilkan penampilan lebih kemas dan elegan.
- Gunakan corak dan aksesori secara sederhana
Corak pakaian juga mempengaruhi visual tubuh. Corak terlalu besar dan sarat boleh membuatkan badan kelihatan ‘penuh’, manakala warna solid atau corak kecil lebih mudah memberi ilusi minimal dan rapi.
Aksesori yang sesuai seperti rantai ringkas atau tudung berwarna lembut boleh membantu menarik perhatian ke bahagian wajah dan memberi keseimbangan pada keseluruhan gaya.
- Pakai apa yang buat anda yakin
Paling penting, jangan terlalu fokus untuk kelihatan kurus semata-mata. Pakaian terbaik ialah pakaian yang membuatkan anda rasa yakin, selesa dan gembira dengan diri sendiri.
Aura seseorang wanita sebenarnya lebih terserlah apabila dia selesa dengan penampilannya. Apabila ada keyakinan, gaya apa sekalipun akan nampak lebih cantik dan menarik. –Muslimah