Rizman Ruzaini rayakan 20 tahun dengan koleksi eksklusif berteraskan fantasi Nusantara

Setelah dua dekad bertapak dalam industri fesyen tempatan, jenama Rizman Ruzaini memilih pendekatan matang dan eksklusif ketika meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya menerusi pelancaran koleksi terhad yang sarat dengan elemen imaginasi, warisan dan identiti sendiri.

Tidak lagi sekadar mengangkat kisah legenda sedia ada, pengasas bersama jenama itu, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil tampil berani mencipta naratif dongeng baharu menerusi koleksi The Hikayat Of Ratna, sebuah manifestasi fantasi rekaan mereka yang berakar daripada budaya Nusantara dan sentuhan Timur Tengah.

Kata Rizman, koleksi itu merupakan impian peribadi yang akhirnya direalisasikan bersempena kelahiran semula jenamanya selepas 20 tahun berada dalam landskap fesyen yang kompetitif.

“Kami mahu dunia melihat Nusantara sendiri kaya dengan warisan dan imaginasi. Jadi kali ini, kami cipta kisah dongeng kami sendiri iaitu puteri Melayu dalam dunia fantasi yang lebih luas dan global,” katanya.

Berbeza dengan tahun lalu yang menyaksikan pengeluaran koleksi berskala besar, Rizman Ruzaini memilih pendekatan lebih terhad tahun ini demi mengekalkan eksklusiviti. 

The Hikayat Of Ratna hanya dikeluarkan sebanyak 24 rekaan khas dan ditawarkan secara tempahan, manakala koleksi Rebirth Vol 3: RR by Rizman Ruzaini pula disediakan dalam kuantiti terhad secara keseluruhan.

Tambah Rizman, pendekatan itu cerminan kematangan jenama yang kini lebih menumpukan kepada nilai dan identiti berbanding kuantiti produk.

“Kami mahu masyarakat rasa sangat eksklusif apabila mengenakan jenama Rizman Ruzaini. Ini bukan lagi tentang produk semata-mata tetapi tentang kematangan jenama itu sendiri,” ujarnya.

Bagi koleksi Raya pula, jenama itu tampil dengan kelainan apabila mengetengahkan rekaan yang lebih fleksibel dan versatil.

Setiap helaian direka supaya boleh digayakan semula selepas Aidilfitri dengan padanan denim, skirt atau seluar kasual tanpa terikat kepada satu set lengkap.

Elemen seni menjadi nadi utama rekaan kali ini, antaranya penggunaan motif Fireflowers yang diinspirasikan daripada bunga teratai iaitu simbol kelahiran semula dan kebangkitan seni. 

Teknik jahitan baharu yang lebih kemas dan seamless turut diperkenalkan bagi memastikan kemasan kelihatan bersih dan moden tanpa kesan jahitan yang ketara.

Koleksi Rebirth Vol 3: RR By Rizman Ruzaini ditawarkan antara RM500 hingga RM800 manakala rekaan eksklusif The Hikayat Of Ratna By Rizman Ruzaini pula berada dalam julat RM4,000 hingga RM22,000 bergantung kepada bahan dan perincian.

Menguatkan lagi penceritaan koleksi, Puan Sri Tiara Jacquelina dipilih sebagai wajah utama bagi menghidupkan karakter Ratna yang diinspirasikan daripada aura Puteri Gunung Ledang yang sinonim dengan keanggunan, misteri dan kekuatan wanita Melayu.

Pemilihan itu bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya berakar daripada hubungan lama antara Rizman Ruzaini dan Puan Sri Tiara sejak era Puteri Gunung Ledang.

“Beliau memiliki aura yang tepat untuk menghidupkan semula semangat Puteri Gunung Ledang dalam interpretasi yang lebih moden dan simbolik,” kata Rizman. –Muslimah