Tiga tanda wanita subur 

Tahap kesuburan bukan sekadar soal kitaran haid yang teratur semata-mata tetapi juga dapat dikenal pasti melalui beberapa petanda fizikal dan emosi yang sering dianggap remeh.

Menurut perkongsian pakar perubatan, Dr. Raihana Ismail, kesuburan yang baik bukan sahaja memudahkan proses kehamilan malah mencerminkan keseimbangan hormon yang optimum dalam tubuh.

Berikut adalah lima petanda utama wanita mempunyai tahap kesuburan yang tinggi dan berkualiti.

Kulit sihat dan berseri

Kulit wajah adalah ‘cermin’ kepada tahap toksin dan hormon dalam badan. Wanita yang subur biasanya memiliki kulit yang bersih, tidak kusam dan jarang ditumbuhi jerawat yang kronik. 

“Kulit yang sihat selalunya bersih, tidak kusam dan tidak banyak jerawat. Jika wajah tiba-tiba nampak seperti ada ‘misai’ atau bulu halus, itu tandanya hormon androgen atau hormon lelaki dalam badan sedang tinggi.

“Tahap Androgen yang tinggi ini sebenarnya menunjukkan kilang telur tidak dapat mengeluarkan estrogen dengan baik, sekaligus menyebabkan telur menjadi lambat matang dan kurang berkualiti,” katanya.

Perubahan cecair faraj

Katanya, pemerhatian terhadap cecair faraj (keputihan) sepanjang bulan juga adalah kunci utama menentukan tahap kesuburan. Selepas tamat tempoh haid, cecair ini akan berubah tekstur mengikut fasa kesuburan.

“Tekstur cecair ini akan mengalami transformasi yang ketara apabila menghampiri waktu subur. Perubahan daripada tekstur yang melekit kepada cecair yang jernih, kenyal dan likat seumpama putih telur mentah adalah isyarat utama telur sudah matang dan sedia melalui proses persenyawaan,” katanya.

Perubahan emosi dan suhu badan

Perubahan mood dan suhu badan adalah normal jika berlaku pada fasa tertentu seperti waktu subur atau sebelum haid.

“Kalau mood swing hanya terjadi pada masa tertentu, itu normal. Tetapi, emosi yang sentiasa tidak stabil sepanjang bulan dan berterusan mungkin menandakan wujudnya masalah pada sistem hormon.

“Wanita juga boleh memantau suhu badan mereka yang biasanya akan terasa sedikit lebih panas daripada biasa sebagai tanda tubuh sedang bersedia untuk fasa ovulasi,” katanya.-Muslimah