Ketaatan seorang isteri terhadap setiap arahan atau permintaan suaminya dalam institusi kekeluargaan Islam bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak sebaliknya mempunyai sempadan dan bersyarat berteraskan syariat.
Perkara itu dikongsikan Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menjelaskan dalam Islam, konsep ketaatan terbahagi kepada dua kategori utama iaitu ketaatan mutlak serta ketaatan yang bersyarat.
“Ketaatan yang bersifat mutlak tanpa sebarang kompromi hanyalah hak eksklusif yang wajib diberikan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana yang telah termaktub secara jelas di dalam al-Quran melalui Surah An-Nisa’, ayat 59,” katanya.
Mengulas mengenai hubungan suami isteri, beliau berkata, ketaatan sesama manusia termasuklah kepatuhan seorang isteri terhadap suami terikat sepenuhnya dengan syarat-syarat yang telah digariskan oleh syariat Islam.
Seorang isteri pada dasarnya adalah wajib untuk mentaati suaminya, namun kewajipan tersebut hanya terpakai selagi mana arahan atau permintaan daripada ketua keluarga itu membawa kepada kebaikan dan tidak bercanggah dengan perintah Allah SWT.
“Namun, jika arahan itu membawa kepada maksiat, maka tidak ada ketaatan padanya.
“Perkara ini selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang menegaskan bahawa tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah,” katanya menerusi satu perkongsian di Threads, baru-baru ini.
Tambahnya, Islam merupakan sebuah agama yang sangat adil kerana konsepnya yang memuliakan kedudukan suami sebagai pemimpin.
“Walaupun Islam mengajar tentang tuntutan ketaatan dalam rumah tangga, agama Islam sama sekali tidak pernah membenarkan sebarang bentuk kezaliman berlaku terhadap mana-mana pihak.
“la memuliakan suami sebagai pemimpin tetapi dalam masa yang sama meletakkan sempadan agar tidak melampaui perintah Tuhan.
“Semoga Allah membimbing rumah tangga kita dengan ilmu, hikmah dan takwa,” katanya. –Muslimah