Isteri wajib tahu dua perkara ini jika jadi mangsa keganasan rumah tangga

Rumah tangga sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi seorang wanita, namun ada yang diuji dengan kekerasan hingga meragut nyawa dalam kandungan.

Dalam kejadian yang baru-baru ini dilaporkan, seorang wanita berusia 39 tahun dipercayai mengalami kecederaan serius selepas dipukul suami menggunakan beberapa objek di kediamannya. 

Akibat insiden tersebut, mangsa yang sedang hamil 12 minggu mengalami keguguran selain kecederaan fizikal yang memerlukan rawatan lanjut.

Lebih memilukan, kejadian berkenaan bukan sahaja meragut nyawa dalam kandungan, malah meninggalkan kesan trauma yang mendalam terhadap mangsa daripada sudut fizikal dan emosi.

Menerusi ruangan Bayan Linnas Siri Ke-345, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan keganasan rumah tangga, khususnya melibatkan isteri yang hamil merupakan perbuatan haram dan berdosa di sisi syarak.

Menurutnya, Islam menuntut agar suami bergaul dengan isteri secara baik dan penuh ihsan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” (Surah an-Nisa’: 19)

Ayat ini menjadi asas hubungan suami isteri perlu dibina atas kasih sayang dan penghormatan, bukan kekerasan atau penganiayaan.

Walaupun Islam memberi ruang kepada suami untuk menegur isteri dalam keadaan tertentu, tindakan tersebut tetap mempunyai batas dan tidak boleh sehingga mencederakan, apatah lagi menggunakan objek berbahaya atau menyasarkan bahagian tubuh yang sensitif.

Tanggungjawab ganti rugi dan implikasi hukum 

Lebih berat, perbuatan yang menyebabkan keguguran janin dianggap sebagai satu kesalahan serius dalam Islam kerana nyawa manusia, termasuk janin dalam kandungan amat dipelihara.

Dalam hukum syarak, individu yang menyebabkan keguguran boleh dikenakan pampasan bayaran yang dikenali sebagai ghurrah, selain menanggung dosa besar atas perbuatan tersebut.

Selain implikasi dosa, perbuatan mencederakan isteri turut membawa kesan daripada sudut undang-undang di Malaysia. 

Isteri yang menjadi mangsa keganasan berhak menuntut pembubaran perkahwinan secara fasakh di Mahkamah Syariah berdasarkan peruntukan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam.

Hak ini terpakai apabila suami menganiaya, mencederakan atau menjadikan kehidupan isteri dalam keadaan menderita serta tidak lagi selamat untuk diteruskan.

Oleh itu, Islam tidak menuntut wanita untuk terus bertahan dalam penderitaan, sebaliknya memberi ruang untuk menuntut keadilan dan keluar daripada hubungan yang memudaratkan.

Jangan diam, cari perlindungan

Rumah tangga sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi seorang wanita, bukan ruang ketakutan. 

Apabila berlaku keganasan, ia bukan lagi isu peribadi, sebaliknya melibatkan pelanggaran hak serta hukum agama.

Wanita yang menjadi mangsa tidak wajar berdiam diri, bantuan boleh diperoleh melalui pihak berkuasa, institusi agama atau badan sokongan bagi memastikan keselamatan serta keadilan dapat ditegakkan-Muslimah