Jangan pendam, ini yang wanita perlu buat jika alami gangguan seksual

Gangguan seksual di tempat kerja masih menjadi realiti yang dihadapi ramai wanita, sama ada secara terang-terangan mahupun dalam bentuk yang lebih halus. 

Statistik menunjukkan masalah ini masih membimbangkan.  Berdasarkan rekod Women’s Aid Organisation (WAO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 522 kes gangguan seksual dilaporkan pada tahun 2023, berbanding 506 kes pada 2021 dan 477 kes pada 2022. 

Majoriti mangsa adalah wanita, termasuk kes yang berlaku di tempat kerja.

Lebih membimbangkan, dianggarkan 35 hingga 56 peratus wanita pernah mengalami gangguan seksual atau diskriminasi gender, manakala 53 peratus mangsa memilih untuk tidak melaporkan kes kerana takut atau tidak yakin tindakan akan diambil. 

Hanya sekitar 17 peratus laporan berakhir dengan tindakan tatatertib.

Jadi, apakah yang perlu dilakukan wanita jika berdepan situasi ini?

Kenal pasti ia adalah gangguan seksual

Ramai wanita keliru sama ada perkara yang dialami itu benar-benar gangguan seksual atau sekadar gurauan biasa. Gangguan seksual bukan hanya melibatkan sentuhan fizikal atau kata-kata lucah secara langsung.

Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Dr. Daniella Maryam Mohamed Mokhtar, ia juga boleh berlaku dalam bentuk gurauan tidak sesuai, komen berunsur seksual, body shaming, bahasa badan yang menimbulkan rasa tidak selesa, mesej, emel atau gangguan melalui media sosial.

Ada juga situasi apabila pelaku menggunakan kuasa atau kedudukan untuk mendapatkan layanan tertentu, seperti menawarkan kenaikan pangkat sebagai balasan.

“Ramai pekerja menganggap ia gurauan atau perkara remeh, sedangkan daripada perspektif psikologi dan undang-undang, ia jelas merupakan gangguan seksual yang serius,” katanya kepada Muslimah.

Jangan salahkan diri sendiri

Ramai mangsa mula mempersoalkan pakaian, tingkah laku atau percakapan sendiri seolah-olah menjadi punca kejadian tersebut, sekaligus menyebabkan mereka enggan membuat laporan.

Namun Dr Daniella berkata, tanggungjawab sepenuhnya terletak pada pelaku. Wanita yang berpakaian sopan atau bertudung pun masih boleh menjadi mangsa dan kesalahan tetap terletak pada pelaku.

Simpan bukti dan rekod kejadian

Jika mengalami gangguan, simpan sebarang bukti yang berkaitan seperti mesej, e-mel, rakaman atau tangkap layar. Catat juga tarikh, masa, lokasi dan apa yang berlaku.

Semua bukti berkenaan penting sekiranya laporan dibuat kemudian hari.

“Merekod bukti kejadian, sama ada melalui mesej, emel atau mencatat tarikh, masa dan lokasi, dapat membuktikan gangguan itu benar,” katanya.

Akta dan undang-undang yang melindungi mangsa

Di Malaysia, mangsa gangguan seksual dilindungi oleh beberapa undang-undang penting:

Akta Anti-Gangguan Seksual 2022 (AAGS 2022)

Akta ini menyediakan saluran khusus melalui Tribunal Anti-Gangguan Seksual. Ia membolehkan mangsa membuat aduan dan menuntut remedi seperti pampasan atau arahan tertentu tanpa perlu melalui proses mahkamah yang kompleks.

Kanun Keseksaan:

Jika gangguan melibatkan unsur jenayah, pelaku boleh dikenakan tindakan di bawah beberapa seksyen seperti:

Seksyen 354 (serangan dengan niat mencabul kehormatan)
Seksyen 509 (perkataan atau isyarat mengaibkan kehormatan)

Kesalahan ini boleh membawa kepada hukuman penjara atau denda.

Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022)

Akta ini mewajibkan majikan menangani aduan gangguan seksual di tempat kerja, menjalankan siasatan dan mengambil tindakan disiplin terhadap pelaku.

Undang-Undang Sivil (Tort)

Mangsa juga boleh menyaman pelaku melalui mahkamah sivil untuk mendapatkan pampasan. Kes penting di Malaysia ialah Mohd. Ridzwan Abdul Razak v Asmah Hj Mohd. Nor (2016), di mana Mahkamah Persekutuan mengiktiraf gangguan seksual sebagai tort dan memberikan pampasan RM120,000 kepada mangsa.

Dapatkan sokongan orang yang dipercayai

Jangan menanggung tekanan seorang diri. Ceritakan kepada ahli keluarga, rakan dipercayai atau pihak profesional jika perlu. Sokongan emosi sangat penting untuk membantu mangsa berasa lebih selamat dan tidak keseorangan.

Gangguan seksual yang dipendam boleh membawa kepada tekanan emosi kronik, kemurungan, keletihan mental serta menjejaskan keyakinan diri dan prestasi kerja.

Jika mempunyai ruang dan saluran yang selamat, tindakan melapor boleh menjadi langkah penting bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga bagi mengelakkan pelaku mengulangi perbuatan terhadap mangsa lain.

“Tindakan berani ini bukan sahaja melindungi diri sendiri, tetapi juga menghentikan pelaku daripada mengulangi perbuatan terhadap orang lain,” katanya.

Mengapa takut bersuara?

Ramai wanita memilih untuk berdiam diri bukan kerana reda, tetapi kerana berdepan risiko besar. 

Mereka takut tidak dipercayai, takut kehilangan kerja, peluang kenaikan pangkat atau bonus, lebih-lebih lagi jika pelaku merupakan individu berjawatan tinggi.

“Bersuara bukan selalu mudah, ramai wanita memilih diam kerana mereka perlu melindungi diri sendiri, keluarga, dan kerjaya daripada risiko yang tidak mereka jangka,” katanya.

Budaya kerja toksik juga menyebabkan mangsa yang bersuara dianggap terlalu sensitif atau sengaja menimbulkan masalah.

Gangguan seksual di tempat kerja bukan isu kecil. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan  meninggalkan kesan besar terhadap mental, emosi dan masa depan wanita.-Muslimah