Sebut sahaja mengenai bibir yang sihat, pasti ramai membayangkan solekan gincu yang rata dan tekstur bibir yang lembap serta mungil.
Namun, ramai dalam kalangan wanita sering berhadapan masalah bibir kering, kusam dan merekah akibat faktor cuaca atau tabiat harian yang salah.
Bibir yang mungil bukan sekadar trend kecantikan semata-mata malah melambangkan tahap hidrasi badan yang baik.
Bagi wanita yang mengimpikan senyuman menawan bak selebriti tanpa perlu melakukan rawatan estetik yang mahal, ikuti langkah penjagaan mudah ini.
Skrub: Singkir sel kulit mati
Langkah pertama untuk mendapatkan bibir yang halus adalah dengan melakukan pengelupasan secara berkala. Sama seperti kulit wajah, bibir juga mempunyai sel kulit mati yang perlu dibuang.
Gunakan skrub bibir yang mengandungi butiran gula halus sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Urutan lembut pada bibir merangsang pengaliran darah, sekali gus memberikan rona kemerahan semula jadi.
Hidrasi luar dan dalam
Jangan hanya bergantung kepada pelembap bibir semata-mata. Kelembapan yang paling efektif bermula daripada jumlah air yang diminum.
Pastikan anda mengambil sekurang-kurangnya dua hingga tiga liter air sehari. Cari pelembap bibir yang mengandungi bahan seperti asid hialuronik, mentega shea atau minyak badam untuk mengunci kelembapan dalam jangka masa lama.
Henti tabiat menjilat bibir
Ramai yang menyangka menjilat bibir dapat mengurangkan rasa kering namun hakikatnya tabiat ini adalah musuh utama bibir sihat. Air liur mengandungi enzim pencernaan yang boleh menghakis lapisan nipis kulit bibir menjadikannya lebih cepat kering dan menghitam.
Lindungi daripada sinar UV
Sinaran UV boleh memecahkan kolagen pada bibir menyebabkannya nampak nipis dan berkedut. Pastikan pelembap bibir mempunyai sekurang-kurangnya SPF 15 atau lebih untuk perlindungan harian.
Elakkan warna terlalu gelap
Warna lipstick terlalu gelap kadangkala membuatkan bibir nampak lebih kasar dan kecil. Warna nude, peach, merah jambu atau coklat lembut biasanya memberi penampilan lebih lembut dan feminin.